Selasa, 21 Jun 2022 | 11:08am

Risiko stagflasi global meningkat - Bank Dunia

KUALA LUMPUR: Risiko stagflasi, gabungan antara inflasi tinggi dan pertumbuhan lembap meningkat pada peringkat global dan negara ekonomi baharu muncul termasuk Malaysia, demikian mengikut Bank Dunia.

Dalam laporan Prospek Ekonomi Global Jun 2022, bank itu berkata, pertumbuhan global sudah bergerak ke arah bertentangan, yang mana ia merosot mendadak sejak awal tahun dan bagi baki dekad ini, yang mana ia dijangka kekal di bawah paras purata tahun 2010-an.

Ia berkata, inflasi global meningkat mendadak dari paras rendahnya pada pertengahan 2020 berikutan lonjakan semula permintaan global, gangguan bekalan dan peningkatan harga makanan dan tenaga, terutama sejak perang Russia-Ukraine.

Katanya, pasaran  menjangkakan inflasi akan memuncak pada pertengahan 2022 sebelum menyusut kemudian.

Namun, ia akan kekal tinggi, walaupun selepas kejutan itu reda susulan dasar monetari yang lebih ketat.

"Dengan perkembangan ini, risiko stagflasi, gabungan inflasi yang tinggi dan pertumbuhan lembap, sudah meningkat. Pemulihan daripada stagflasi pada 1970-an memerlukan langkah menaikkan kadar faedah yang drastik oleh bank pusat ekonomi maju dalam usaha meredakan inflasi, yang mana mencetuskan kemelesetan global dan rentetan kepada krisis kewangan di negara ekonomi baru muncul," katanya.

Bank Dunia berkata, jika tekanan stagflasi semasa meningkat, negara ekonomi baru muncul berkemungkinan akan menghadapi cabaran besar sekali lagi kerana unjuran inflasi yang rendah, kelemahan kewangan yang tinggi dan asas pertumbuhan yang lemah.

Ia berkata, keadaan itu akan mendesak negara ekonomi baru muncul untuk meningkatkan penampan fiskal dan luaran masing-masing, mengukuhkan rangka kerja dasar monetari dan melaksanakan pembaharuan untuk menggiatkan semula pertumbuhan.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan ekonomi global lebih perlahan daripada 5.7 peratus pada 2021 kepada 2.9 peratus pada 2022 dan purata tiga peratus pada 2023-2024, memandangkan pencerobohan Russia ke atas Ukraine menjejaskan aktiviti dan perdagangan dalam jangka masa terdekat.

Ia berkata, kesan perang termasuk tekanan inflasi yang lebih teruk dan kadar pengetatan monetari lebih pantas berbanding jangkaan menyumbang sebahagian besar daripada penurunan semakan 1.2 mata peratusan terhadap unjuran pertumbuhan tahun ini.

Katanya, unjuran pertumbuhan 2022 juga sudah disemak turun bagi kebanyakan ekonomi, termasuk majoriti pengeksport komoditi, walaupun perdagangan yang lebih baik, sebahagiannya berikutan kos input yang lebih tinggi dalam pengeksport bukan tenaga.

Bank Dunia berkata, langkah pengetatan monetari yang tidak dijangka dalam pasaran kewangan utama akan mendorong kepada aliran keluar modal daripada ekonomi Asia Timur dan Pasifik (EAP), termasuk Malaysia yang mana ia akan memberi tekanan kepada mata wang serantau dan meningkatkan lagi inflasi.

Ia berkata, risiko itu lebih teruk bagi negara yang bergantung kepada aliran masuk modal jangka pendek seperti Mongolia dan Thailand.

"Peningkatan meluas hutang merentas sektor dan negara ketika pandemik adalah penyumbang utama kemeruapan. Nisbah hutang dan jaminan hutang awam kepada kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat hampir sekali ganda di Fiji sejak akhir 2019 dan melepasi 80 peratus di Fiji, Laos dan Mongolia, sementara 60 peratus di Malaysia.

"Kesan itu mungkin tertumpu di negara dengan paras hutang luaran tinggi (Laos, Malaysia, Mongolia, Papua New Guinea); keperluan pembiayaan luaran yang besar (Kemboja, Fiji, Malaysia, Mongolia, Timor-Leste); pasaran kewangan yang lebih mendalam dan lebih bersepadu pada peringkat antarabangsa dan negara pengimport komoditi, yang mana harga komoditi lebih tinggi memburukkan defisit akaun semasa secara ketara (banyak ekonomi kepulauan rantau Pasifik)," katanya.

Berita Harian X