Rabu, 8 Jun 2022 | 4:55pm
Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour - Foto fail NSTP
Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour - Foto fail NSTP

OPR dinaikkan selepas ekonomi Malaysia kukuh

KUALA LUMPUR: Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) bulan lalu adalah selepas melihat pertumbuhan ekonomi negara kembali mengukuh.

Timbalan Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, berkata pengukuhan ekonomi itu antara lain dapat dilihat berdasarkan permintaan domestik yang kembali meningkat.

Selain itu, katanya berlaku peningkatan kadar inflasi yang bagaimanapun masih dalam keadaan terkawal selain pemulihan dalam pasaran buruh.

"Ekonomi Malaysia sudah tidak lagi memerlukan sokongan dasar monetari. Kenaikan OPR secara berperingkat daripada kadar terendah dalam sejarah, 1.75 peratus kepada 2.00 peratus akan membolehkan pasaran melakukan penyesuaian dan dilihat sebagai akomodatif.

"Keadaan Malaysia juga berbeza dengan negara lain dan adalah amat penting untuk menormalisasikan kadar faedah dalam usaha untuk merangsang ekonomi.

"Keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas adalah berdasarkan trajektori pertumbuhan negara, yang berada pada landasan kukuh, didorong oleh kenaikan dalam permintaan domestik, selain kadar inflasi yang boleh dikawal dan pemulihan dalam pasaran buruh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panels dalam persidangan Invest ASEAN 2022 bertajuk Malaysia: Ekonomi di Persimpangan, hari ini.

Persidangan itu turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Johan Mahmood Merican dan Pengarah Unit Ekonomi dan Perniagaan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Juita Mohamad.

Sesi itu dikendalikan oleh Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, bagi meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi, terdapat keperluan untuk pembaharuan struktur, termasuk membawa mashk industri bernilai tambah tinggi dan menarik pelaburan asing bernilai tinggi.

Katanya, kenaikan kadar faedah akan dilakukan secara terancang dan beransur-ansur untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Sebarang kenaikan akan mengambil kira masa dan magnitud pelarasan pasaran terhadap kenaikan kadar OPR.

"Penyesuaian pasaran terhadap kenaikan kadar juga akan bergantung kepada pertumbuhan ekonomi," katanya.

Sementara itu, menjawab pertanyaan berhubung pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Johan berkata, seperti pernah dimaklumkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini, tiada cukai baharu akan diperkenalkan kerana ekonomi negara masih sedang memulih.

"Tiada cukai baharu akan dilaksanakan sehingga ekonomi pulih sepenuhnya," katanya.

Berita Harian X