Selasa, 7 Jun 2022 | 8:27pm
Kenyataan Pra-Bajet menekankan pelan kerajaan untuk lebih banyak subsidi bersasar - Foto Reuters
Kenyataan Pra-Bajet menekankan pelan kerajaan untuk lebih banyak subsidi bersasar - Foto Reuters

Bajet 2023 mungkin dibentang lebih awal

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka membentangkan Bajet 2023 lebih awal berikutan pilihan raya umum dijangka semakin hampir, menurut CGS-CIMB.

Katanya, bajet pilihan raya yang bercirikan pengembangan dijangka akan dikeluarkan dengan isu seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dijangka akan ditangani selepas pilihan raya oleh kerajaan baharu.

"Kenyataan Pra-Bajet dikeluarkan awal pada tahun ini pada 3 Jun berbanding 31 Ogos pada tahun lalu, menekankan pelan kerajaan untuk lebih banyak subsidi bersasar walaupun butiran mengenainya masih belum dikeluarkan.

"Kenyataan Pra-Bajet tidak menyatakan prospek pelaksanaan semula GST. Berdasarkan sensitiviti itu, kami tidak menjangka kerajaan akan komited kepada GST walaupun kemungkinan kita akan menyaksikan kembalinya cukai itu dalam satu bentuk atau yang lain," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Peralihan daripada GST kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 2018 menyebabkan kerajaan kerugian kira-kira RM20 bilion yang diperlukan untuk menampung jurang fiskal yang ditinggalkan oleh subsidi yang lebih tinggi dan meneruskan penyatuan fiskal, menurut CGS-CIMB.

Menurut firma penyelidikan itu, kerajaan mengekalkan sasaran defisit fiskal 2022 pada enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) walaupun perbelanjaan subsidi lebih tinggi, dijangka diimbangi oleh pembayaran dividen yang tinggi.

"Kami percaya ini hanya dapat dicapai melalui pembayaran dividen yang tinggi oleh syarikat berkaitan kerajaan, terutama PETRONAS.

"Pada Ogos 2021, PETRONAS mengumumkan pembayaran dividen tambahan RM7 bilion kepada kerajaan dalam keadaan harga minyak meningkat, selain sasaran awalnya sebanyak RM18 bilion.

"Kami percaya PETRONAS juga akan dapat mengatasi komitmen awalnya untuk pembayaran dividen sebanyak RM25 bilion pada 2022 berikutan kerajaan menjangka tambahan RM30 bilion untuk perbelanjaan subsidi," katanya.

Sementara itu, katanya Kenyataan Pra-Bajet tidak menyatakan sasaran defisit untuk 2023 walaupun kenyataan itu menekankan keperluan kepada penyatuan fiskal yang berterusan kepada -3.5 peratus daripada KDNK menjelang 2025.

CGS-CIMB menyatakan peningkatan untuk defisit kepada -5 peratus daripada KDNK pada 2023 daripada -6 peratus pada 2022.

"Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK kami sebanyak 5.6 peratus tahun ke tahun untuk unjuran 2022 dan 5.0 peratus untuk unjuran 2023, unjuran Indeks Harga Pengguna 2023 kami sebanyak dua peratus akan menyaksikan peningkatan selepas pelarasan subsidi," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X