Jumaat, 3 Jun 2022 | 3:27pm
Kos bahan mentah, buruh dan kewangan memberi kesan kepada pendapatan korporat - Foto Reuters
Kos bahan mentah, buruh dan kewangan memberi kesan kepada pendapatan korporat - Foto Reuters

Prestasi korporat dijangka lebih baik suku kedua

KUALA LUMPUR: CIMB Research menjangka pendapatan korporat yang lebih baik pada suku kedua 2022, didorong oleh harga komoditi yang kukuh berikutan konflik Ukraine-Russia dan permintaan meningkat/perayaan daripada pengguna.

Dalam nota penyelidikan hari ini, firma broker itu bagaimanapun berkata, ini sebahagiannya akan diimbangi oleh kos bahan mentah, buruh dan kewangan yang tinggi.

Ia turut menjangka pendapatan FBM KLCI akan meningkat satu peratus dan 11 peratus pada tahun kewangan 2022 dan 2023, selain menaikkan sasaran akhir tahun untuk indeks petunjuk pasaran kepada 1,647 mata pada 2022.

"Peningkatan untuk sasaran FBM KLCI 2022 kami untuk mencerminkan semakan pendapatan yang positif, yang lebih daripada mengimbangi sasaran harga-pendapatan yang rendah," katanya.

CGS-CIMB Research neutral untuk musim keputusan korporat baru-baru ini pada suku pertama 2022.

Katanya, nisbah semakan pendapatan merosot kepada 0.92 kali pada suku pertama tetapi masih melebihi purata sejarah.

"Nisbah syarikat yang mencatatkan keputusan melebihi jangkaan kami jatuh kepada 26 peratus pada suku pertama 2022 untuk musim keputusan daripada 40 peratus pada suku keempat 2021, manakala nisbah yang tidak mencatatkan prestasi yang baik meningkat kepada 28 peratus daripada 23 peratus pada suku tahun sebelumnya," katanya.

Katanya, kejutan pendapatan yang positif adalah daripada sektor perniagaan tani dan kimia pada musim keputusan suku pertama manakala sektor tenaga dan perkapalan mencatatkan pendapatan yang lebih lemah daripada jangkaan.

"Keuntungan bersih teras pada suku pertama merosot 21 peratus suku ke suku dan 32 peratus tahun ke tahun berikutan pendapatan yang rendah daripada pengeluar sarung tangan dan Sapura Energy.

"Jika kami mengecualikan pengeluar sarung tangan dan Sapura Energy, pendapatan suku pertama meningkat 4.3 peratus tahun ke tahun tetapi merosot 12.1 peratus suku ke suku," menurut CGS-CIMB Research.

-BERNAMA

Berita Harian X