Selasa, 17 Mei 2022 | 8:53pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfiitri Dan Hari Terbuka Kementerian Kewangan 2022 di Kompleks Kementerian Kewangan, hari ini - Foto BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfiitri Dan Hari Terbuka Kementerian Kewangan 2022 di Kompleks Kementerian Kewangan, hari ini - Foto BERNAMA

Setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen dinikmati T20

PUTRAJAYA: Golongan kaya atau kumpulan T20 ketika ini lebih banyak menikmati subsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurut Menteri Kewangan, manfaat itu termasuk sebahagian besar subsidi petroleum berjumlah RM4 bilion setakat Mac tahun ini yang telah dinikmati oleh kumpulan berkenaan.

Ini kerana, jelas beliau, subsidi yang disalurkan kerajaan bersifat menyeluruh dan memanfaatkan semua lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, katanya, kementerian sedang mencari jalan untuk melaksanakan subsidi bersasar.

"Kita telah buat sesi libat urus dengan pihak berkepentingan dan akan bawa ke Kabinet dalam masa terdekat," katanya pada majlis Rumah Terbuka Kementerian Kewangan, hari ini.

"Golongan kaya menikmati lebih subsidi berdasarkan penggunaan yang lebih besar. Satu contoh adalah sebahagian besar daripada subsidi petrol berjumlah RM4 bilion setakat Mac 2022 ini sebenarnya dinikmati oleh golongan T20.

"Setiap RM1 subsidi bahan api, 53 sen pergi ke golongan T20 manakala hanya 15 sen dimanfaatkan oleh golongan B40," tambahnya.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata Malaysia berada di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi antara 5.3 dan 6.3 peratus tahun ini dan menyifatkan cakap-cakap mengenai kemelesetan global sebagai 'terlalu awal dan suatu yang tidak sepatutnya'.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia akan disokong oleh dasar fiskal pengembangan kerajaan serta dasar monetari akomodatif.

Malaysia dijangka menyaksikan momentum pertumbuhan selanjutnya pada suku kedua selepas merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kukuh pada lima peratus bagi suku pertama tahun ini.

"Bagaimanapun, kita tetap berhati-hati dengan sebarang potensi negatif. Terdapat potensi risiko (disebabkan) oleh perang di Ukraine, harga komoditi tinggi dan dasar moneteri global yang diperketatkan.

Sehubungan itu, kerajaan perlu memastikan fleksibiliti fiskal yang mencukupi pada masa depan bagi menangani risiko seumpama itu.

"Itulah sebabnya mengapa kita berhasrat untuk mengurangkan secara beransur-ansur defisit fiskal daripada 6.4 peratus pada 2021 kepada enam peratus pada 2022 dan juga merasionalkan subsidi menjadi lebih bersasar," katanya.

Tengku Zafrul berkata, kegagalan untuk memenuhi obligasi hutang adalah risiko utama bagi negara-negara sekiranya berlaku kemelesetan global tetapi ia bukan risiko bagi Malaysia kerana risiko itu dapat dikurangkan berikutan pendedahan rendahnya kepada hutang luaran, dengan kurang daripada tiga peratus dalam mata wang asing.

Menurutnya, Malaysia mempunyai kecairan yang mencukupi untuk membiayai keperluan pinjaman kerajaan dan sektor swasta.

Berita Harian X