Jumaat, 13 Mei 2022 | 3:38pm
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2022 -NSTP/Aswadi Alias
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2022 -NSTP/Aswadi Alias

Penetapan OPR bergantung prestasi ekonomi, inflasi

KUALA LUMPUR: Sebarang peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) selepas ini akan bergantung kepada sejauh mana keutuhan ekonomi negara berkembang dan kesan kepada inflasi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, langkah meningkatkan kadar itu baru-baru ini kepada 2.00 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus adalah untuk menghindarkan akomodatif yang berlebihan dalam dasar monetari.

Katanya, lebihan kapasiti akan berterusan, justeru dasar monetari perlu kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Tahap paras kenaikan kadar (OPR) akan bergantung kepada sejauh mana keutuhan ekonomi berkembang dan kesan kepada inflasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara suku pertama 2022, hari ini.

Nor Shamsiah berkata, pertumbuhan dalam negeri yang lebih kukuh menyokong keputusan untuk mula mengurangkan tahap akomodatif monetari.

Beliau berkata, ia akan dilakukan secara terukur dan beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil.

Mengulas lanjut, Gabenor berkata, sebarang pelarasan kadar itu akan memberi kesan kepada pendeposit dan peminjam.

Beliau berkata, meskipun OPR yang lebih tinggi mungkin menjejaskan peminjam dari segi pembayaran balik pinjaman yang lebih tinggi, namun ia juga mendorong pulangan deposit lebih tinggi.

Katanya, pulangan deposit yang tinggi akan menggalakkan individu menyimpan untuk membina penampan kewangan yang terjejas akibat COVID-19.

Berita Harian X