Jumaat, 13 Mei 2022 | 12:02pm
KDNK Malaysia dipacu oleh pertumbuhan berterusan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian - Foto Reuters
KDNK Malaysia dipacu oleh pertumbuhan berterusan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian - Foto Reuters

Ekonomi Malaysia berkembang 5 peratus suku pertama 2022

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berkembang kukuh kepada 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini, berbanding penguncupan 0.5 peratus pada suku sama 2021, disokong terutama oleh pengukuhan permintaan domestik.

Angka itu juga adalah lebih tinggi berbanding pertumbuhan 3.6 peratus yang dicatatkan pada suku keempat tahun lalu.

Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun pertama 2022 dari segi penawaran adalah dipacu oleh pertumbuhan berterusan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian.

Dari segi permintaan pula, beliau berkata, pertumbuhan disokong oleh pengembangan dalam perbelanjaan penggunaan isi rumah dan pemulihan dalam pembentukan modal tetap kasar pada suku tahun ini.

"Prestasi ekonomi bulanan menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik dari Januari hingga Mac 2022.

"Prestasi KDNK pada Januari 2022 bertumbuh 4.3 peratus seterusnya pertumbuhan ini masing-masing meningkat kepada 5.2 peratus dan 5.4 peratus pada Februari dan Mac 2022.

"Daripada kedudukan ekonomi semasa, prestasi ekonomi pada suku tahun pertama 2022 telah melepasi paras suku tahun pertama 2019 sebanyak 5.2 peratus atau RM17.9 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku pertama tahun 2022 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Sementara itu Nor Shamsiah berkata, pertumbuhan KDNK suku pertama itu disokong terutama oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik apabila kegiatan ekonomi terus kembali normal dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

"Keadaan yang bertambah baik ini juga mencerminkan pemulihan pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 4.1 peratus, di samping sokongan dasar yang berterusan.

"Permintaan luaran yang kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan juga memberikan sokongan selanjutnya kepada pertumbuhan.

"Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan ekonomi dengan masing-masing berkembang sebanyak 6.5 peratus dan 6.6 peratus.

"Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 3.9 peratus," katanya.

Beliau menambah, inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.2 peratus pada suku pertama 2022.

"Hal ini mencerminkan terutama sumbangan lebih kecil daripada kesan asas yang luput daripada harga bahan api runcit yang lebih rendah tahun lalu, selain ketiadaan kesan asas daripada rebat tarif elektrik yang dilaksanakan pada 2020.

"Inflasi teras meningkat kepada 1.7 peratus pada suku itu. Hal ini mencerminkan pelarasan harga berikutan kos yang lebih tinggi serta keadaan permintaan yang bertambah baik, dengan kenaikan harga yang lebih ketara khususnya bagi item makanan disebabkan oleh faktor berkaitan bekalan seperti harga komoditi global lebih tinggi," katanya.

Berita Harian X