Khamis, 12 Mei 2022 | 2:07pm
Datuk Teng Chang Khim
Datuk Teng Chang Khim

SIBS 2022 sasar potensi jualan RM350 juta

SHAH ALAM: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada tahun ini akan menjadi penganjuran terbesar dengan 20 peratus penyertaan perdagangan antarabangsa dan potensi jualan sebanyak RM350 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil Dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Khim, berkata penganjuran SIBS 2022 akan menjadi peluang untuk mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan pilihan dan kompetitif di Asia.

Beliau berkata, potensi jualan RM350 juta pula adalah nilai terbesar pernah disasarkan sejak enam penganjuran sebelum ini.

"SIBS menyediakan peluang rangkaian untuk semua peserta merentasi pelbagai sektor bertemu dan bekerjasama, menggunakan Selangor sebagai pintu masuk ke ASEAN.

"Sidang kemuncak itu menyediakan persekitaran pelaburan dan perniagaan yang paling kondusif untuk Malaysia secara keseluruhan dan untuk Selangor khususnya.

"Peserta boleh menggunakan SIBS sebagai platform untuk rangkaian dengan bakal pelanggan dan rakan kongsi perniagaan dari rantau ini," katanya selepas taklimat media SIBS 2022 di sini, hari ini.

SIBS 2021 pada tahun laly merekodkan potensi jualan RM217.6 juta, hampir mencapai rekod jualan dalam SIBS 2019 iaitu RM247 juta.

Penganjuran tahun ini menyaksikan 850 reruai disasarkan dengan 30,000 pengunjung perdagangan dijangka hadir pada sidang kemuncak selama empat hari bermula 6 hingga 9 Oktober ini.

Chang Khim berkata, Invest Selangor turut menyasarkan 20 peratus penyertaan daripada negara luar dalam SIBS 2022.

Beliau berkata, kerajaan Selangor yakin SIBS 2022 akan menjadi ekspo perdagangan terbesar dan pilihan utama di rantau ini berdasarkan kepada pembukaan semula sempadan negara.

"Pembukaan semula sempadan negara yang lebih pantas berbanding negara serantau lain memberikan kelebihan kepada perdagangan.

"Pelabur dan peniaga asing akan menjadikan Malaysia pilihan untuk mengembangkan perniagaan. Justeru, kami yakin penyertaan daripada peserta antarabangsa akan tinggi tahun ini," katanya.

Sementara itu, Chang Khim berkata, berdasarkan perkembangan semasa, Selangor mampu mencapai jumlah pelaburan yang memberangsangkan.

Sehubungan itu, katanya, Selangor dijangka dapat menarik pelaburan berpotensi bernilai RM28 bilion berdasarkan kepada perangkaan pelaburan berpotensi pada suku pertama 2022 sekitar RM7 bilion.

"Ekosistem pelaburan dan perniagaan yang komprehensif di Selangor menjadi tarikan utama dan kerajaan negeri yakin mampu mencapai sasaran," katanya.

Berita Harian X