Isnin, 9 Mei 2022 | 3:41pm
MoneyMatch Sdn Bhd akan melancarkan program mengumpul dana Siri B selepas terpilih sebagai antara pengendali perbankan digital di Malaysia.
MoneyMatch Sdn Bhd akan melancarkan program mengumpul dana Siri B selepas terpilih sebagai antara pengendali perbankan digital di Malaysia.

MoneyMatch umum siri kedua pelan raih dana

KUALA LUMPUR: MoneyMatch Sdn Bhd, syarikat pemulaniaga teknologi kewangan yang mengkhusus dalam pembayaran antarabangsa, akan melancarkan program mengumpul dana Siri B selepas terpilih sebagai antara pengendali perbankan digital di Malaysia.

MoneyMatch adalah antara syarikat dalam konsortium diterajui KAF Investment Bank Bhd yang diberikan lesen perbankan digital oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Untuk program mengumpul dana Siri B, MoneyMatch kini sedang berbincang dengan beberapa pelabur institusi tempatan dan serantau, bank pelaburan dan dana modal usahaniaga.

Ketua Pegawai Eksekutif MoneyMatch, Adrian Yap, berkata syarikat menjangka pusingan meraih dana Siri B akan ditutup menjelang pertengahan tahun ini.

"MoneyMatch merancang untuk meningkatkan pelaburan dalam teknologi terkini, infrastruktur kewangan yang dinaik taraf dan usaha peningkatan pembangunan perniagaan ke pelbagai negara baharu di rantau ini menjelang tahun depan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Julai 2021, MoneyMatch melaporkan bahawa ia sudah memohon lesen perbankan digital selepas penutupan pusingan pengumpulan dana Siri A bernilai RM18.5 juta bersama dengan rancangan untuk pengembangannya.

Mengulas lesen perbankan digital diperoleh syarikat, Adrian berkata, pihaknya percaya konsortium itu mempunyai kemahiran yang sesuai untuk memberikan perkhidmatan kepada segmen PMKS yang kurang mendapat perhatian sebelum ini dan juga membantu merealisasikan cita-cita dan matlamat mereka.

Pengasas Bersama MoneyMatch, Naysan Munusamy, pula berkata perbankan digital adalah masa depan untuk negara ini, dan syarikat sebagai sebahagian kumpulan pertama yang dilesenkan komited untuk membawa anjakan paradigma baharu dalam sektor kewangan.

"Justeru, rakan kongsi konsortium perbankan digital Islam yang diterajui KAF akan berusaha ke arah kesediaan dan pelancaran operasi penuh tertakluk kepada kelulusan kawal selia dengan butiran lanjut yang akan diumumkan kelak," katanya.

Sebagai ahli kohort pertama Sandbox pendekatan pengawalseliaan Bank Negara Malaysia pada 2017, MoneyMatch adalah pelopor penggunaan penyelesaian Mengenal Pelanggan Secara Elektronik (electronic-Know Your Customer, eKYC) dalam ruang pembayaran rentas sempadan dan menjadi graduan Sandbox pertama yang berjaya di Malaysia beberapa tahun kemudian.

Sejurus itu, MoneyMatch terbabit dalam transaksi rentas sempadan melalui teknologi rantaian blok (blockchain technology) serta berkembang kepada beberapa lesen pembayaran di luar negara termasuk Brunei dan Australia. Kini, MoneyMatch terbabit secara aktif dalam menyumbangkan pengalaman, infrastruktur dan sumber mereka untuk membina antara bank digital Islam yang pertama di Malaysia.

MoneyMatch menjadi penyedia pertama di Malaysia yang menawarkan kedua-dua pengesahan eKYC dan pembayaran luar negara yang dilancarkan oleh teknologi Blockchain.

Platform digital MoneyMatch telah berjaya melaksanakan lebih RM4 bilion transaksi yang meliputi pembayaran perdagangan rentas sempadan dan kiriman wang individu.

Berita Harian X