KUALA LUMPUR: Pasaran e-dagang Malaysia disasarkan untuk terus melepasi paras RM1 trilion tahun ini, sekali gus mengulangi pencapaian tahun lalu yang buat pertama kalinya mencecah angka berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz, berkata berdasarkan data yang dimiliki pihaknya dan juga trend semasa, urus niaga e-dagang di Malaysia boleh sekali lagi melebihi RM1 trilion tahun ini, konsisten dengan sasaran MDEC menjelang 2025.
"Kita semua berada di landasan yang betul dalam mencapai aspirasi negara, iaitu merekodkan RM1.65 trilion menjelang 2025. Ini disokong melalui pendekatan satu negara dalam Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang (NESR), yang diterajui oleh MDEC.
"Pencapaian luar biasa yang dicapai pada tahun lalu boleh disandarkan kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyumbang kepada lonjakan ketara transaksi e-dagang.
"Namun, momentumnya ketika ini sudah ada dan disebabkan itu, kita perlu membawa program baharu dan lebih meluas yang meliputi semua aspek demografik e-dagang. Ini bagi membolehkan momentum perbelanjaan dalam talian terus dikekalkan pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran JomCelikDigital Dengan Meta secara maya, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Negara Meta Malaysia, Nicole Tan.
Mengenai inisiatif itum Mahadhir berkata, ia selari dengan program #SayaDigital MDEC, yang bukan hanya memberi kemahiran yang diperlukan untuk berkembang dalam masa depan digital, tetapi menjadi daya penggerak yang memacu ekonomi digital Malaysia ke arah mencapai status negara digital berdaya saing di peringkat antarabangsa.
"Inisiatif ini akan membantu rakyat Malaysia membina kemahiran penting di kala pengetahuan digital diperlukan dalam kesemua sektor ekonomi.
"MDEC memuji dan menyokong insiatif Meta Malaysia ini, yang akan menyumbang ke arah perkembangan dan penciptaan peluang pekerjaan," katanya.
Sementara itu, Tan berkata, semakin banyak perniagaan menggunakan teknologi sebagai cara bekerja, menjadikan akses saksama kepada peralatan digital yang bermanfaat menjadi semakin penting.
Katanya, ia selari dengan matlamat Malaysia untuk menjadi pusat e-dagang di rantau ini dan keseluruhan agenda rangka tindakan ekonomi digital.
"Kami komited dalam menyokong agenda ekonomi digital negara. Melalui #JomCelikDigital Dengan Meta, kami menyediakan akses saksama kepada sumber digital yang menyeluruh agar rakyat Malaysia mempertingkatkan daya saing dalam dunia digital, terutama bagi mereka yang berada di pedalaman serta golongan berpendapatan B40.
"Malah, sejak 2019, Meta bekerjasama dengan MDEC melalui inisiatif eUsahawan MDEC, dan melatih 2,000 jurulatih yang bertanggungjawab untuk menerapkan nilai ilmu keusahawanan digital program ini bertujuan melatih lebih 5,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjana pendapatan tambahan melalui platform digital," katanya.
Di bawah naungan inisiatif #JomCelikDigital Dengan Meta, empat program peningkatan kemahiran digital akan diperkenalkan iaitu Meta Boost, Pasar Whatsapp, Instagram Academy dan Facebook Blueprint Higher Education Program.
Setiap program direka untuk mencakupi golongan berbeza termasuklah pelajar, pencari pekerjaan, PKS serta pemilik perniagaan kecil atau mikro.