Rabu, 6 April 2022 | 11:40am
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mula menjadi tumpuan berikutan pembukaan sempadan antarabangsa - NSTP/Rohanis Shukri
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) mula menjadi tumpuan berikutan pembukaan sempadan antarabangsa - NSTP/Rohanis Shukri

Trafik lapangan terbang MAHB diunjur pulih ketara

KUALA LUMPUR: CGS-CIMB menaikkan unjuran trafik domestik di lapangan terbang yang diuruskan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada 85 peratus tahap prapandemik, berikutan langkah pembukaan semula sempadan yang lebih awal daripada jangkaan.

Firma penyelidikan itu turut menyemak naik unjuran trafik antarabangsa bagi 2022 kepada 40 peratus tahap prapandemik.

"Unjuran baharu kami adalah wajar kerana pada Februari lalu, trafik domestik Malaysia sudah mencecah 69 peratus tahap prapandemik dan menjangkakan syarikat penerbangan baharu, MYAirline, akan memulakan operasi bermula Ogos," kata penganalisisnya, Raymond Yap, dalam satu nota hari ini.

CGS-CIMB sebelum ini menjangkakan sempadan antarabangsa negara ini dibuka semula pada pertengahan 2022, namun kerajaan memutuskan pembukaan dilaksanakan bermula 1 April lalu.

AirAsia dan Malaysia Aviation Group (MAG) masing-masing dilaporkan berkata menyasarkan kapasiti penumpang kembali ke tahap 90 peratus dan 70 peratus sebelum COVID-19 menjelang akhir tahun ini.

Sehubungan itu, CGS-CIMB percaya bahawa kapasiti itu sebahagian besarnya adalah trafik antarangsa, memandangkan kedua-dua syarikat penerbangan menumpukan kepada pemulihan kapasiti domestik sejak enam bulan lalu.

Yap berkata, pemulihan domestik dan antarabangsa juga akan didorong oleh Malindo Air serta AirAsia X (AAX), yang kedua-duanya terpaksa menghentikan operasi sebahagian besar pesawat sepanjang pandemik.

"Malindo mungkin menempatkan semula sebahagian daripada 24 pesawat Boeing 737 yang dipindahkan ke Indonesia sejak dua tahun lalu, manakala AAX mungkin mengembalikan semula sebahagian perkhidmatan penumpang jarak sederhana, jika hasil kargo dapat terus membayar kos penerbangan berikutan hasil yang tinggi diperoleh ketika ini," katanya.

Bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG), beliau berkata, unjuran trafik penumpang antarabangsa bagi 2022 akan kembali 100 peratus ke tahap prapandemik.

"Kami sudah pun mengambil kira bahawa penerbangan Russia dan Ukraine dari ISG digantung, kedua-duanya menyumbang sembilan hingga 10 peratus trafik penumpang ISG pada 2019," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X