Selasa, 5 April 2022 | 4:35pm
Peningkatan kos tenaga di Malaysia diserap menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) - Foto hiasan
Peningkatan kos tenaga di Malaysia diserap menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) - Foto hiasan

Industri elektrik terkesan kenaikan harga bahan api

KUALA LUMPUR: Bahan api fosil yang terdiri daripada arang batu, gas asli dan petroleum kekal memainkan peranan penting dalam industri elektrik di seluruh dunia dan dengan lonjakan harga bahan api ketika ini.

Malaysia dan negara-negara di seluruh dunia turut terbeban dengan peningkatan kos penjanaan.

Memandangkan peningkatan penggunaan tidak seimbang dengan kenaikan kos, bil tenaga yang tinggi terhadap pengguna akhir kelihatannya tidak dapat dielakkan.

Harga arang batu dipengaruhi oleh pergerakan pasaran minyak, oleh itu, kenaikan harga dalam pasaran tenaga ketika ini memberikan cabaran yang besar kepada pengendali kuasa.

Ini terutama apabila harga minyak dijangka kekal tinggi bukan sahaja kerana konflik Russia-Ukraine tetapi juga disebabkan penawaran dan permintaan yang tidak menentu.

Walaupun kejutan geopolitik sedikit sebanyak telah berkurangan dan begitu juga harga minyak , namun potensi kehilangan tiga juta tong sehari daripada produk mentah dan ditapis Russia bermula April berikutan sekatan yang dikenakan, akan menjadi antara faktor yang menyebabkan harga menjadi tinggi sekali lagi tidak lama lagi.

Harga minyak telahpun berada di atas paras AS$139 setong awal bulan ini dan memberi kesan besar kepada pasaran arang batu yang seterusnya boleh menjejaskan sektor-sektor lain, usahawan dan juga individu.

Harga arang batu telahpun meningkat sejak lewat 2020 susulan permintaan tinggi dan disokong lagi oleh pemulihan ekonomi pada 2021, serta kemerosotan pengeluaran di pasaran utama seperti Eropah dan China, yang menyebabkan harga bahan mineral itu melonjak tinggi baru-baru ini.

Penanda aras niaga hadapan Newcastle melepasi paras AS$440 satu tan metrik pada 2 Mac susulan pencerobohan Russia di Ukraine yang bermula 24 Februari lalu.

Ketika ini, peningkatan kos diserap oleh kerajaan dengan menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) untuk mengekalkan rebat semasa dua sen setiap kilowatt jam (kWj) bagi pengguna domestik dan bersasar tetapi elektrik tidak boleh menjana kuasanya sendiri.

Di negara ini, penjanaan jana kuasa dan bahan api membentuk hampir 70 peratus daripada kos dan pada trend harga arang batu semasa, tambahan kos bagi mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) akan lebih tinggi lagi.

Dalam keadaan itu, kerajaan telah mengumumkan tiada sebarang perubahan dalam jadual tarif pelanggan bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2024.

ICPT disemak semula setiap enam bulan.

Antara Julai dan Disember 2021, sejumlah RM1.67 bilion telah dibelanjakan berdasarkan kepada purata harga arang batu AS$105 setan metrik bagi pembelian bahan api.

Selain itu, kira-kira RM715 juta diperuntukkan daripada KWIE untuk menampung kos penjanaan semasa tempoh berkenaan.

Bagaimanapun, surcaj tarif elektrik 3.7 sen setiap kWj dikenakan bagi pengguna bukan domestik daripada sektor komersial dan perindustrian bagi tempoh Februari-Jun 2022 susulan kenaikan harga arang batu.

Di Thailand, Tarif Bahan Api (Ft) digunakan untuk pengiraan bil elektrik dan diperoleh daripada formula Mekanisme Pelarasan Tarif Automatik.

Ft disemak setiap empat bulan dan untuk tempoh Januari-April 2021, kadar Ft ialah 1.39 satang/unit atau secara purata sebanyak 3.78 baht setiap kWj, peningkatan sebanyak 4.6 peratus.

Negara itu terpaksa mengimport gas asli cecair (LNG) tambahan berikutan kekurangan bekalan gas asli di Teluk Thailand.

Gas asli membentuk hampir 60 peratus bahan api yang digunakan untuk menghasilkan tenaga elektrik di negara berkenaan dan berikutan kenaikan harga minyak global, tarif elektrik dijangka meningkat kepada 23.37 satang seunit atau kira-kira empat baht setiap kWj dari Mei hingga Ogos tahun ini.

Satang adalah pembahagian mata wang bersamaan dengan satu ke-100 baht Thailand.

Singapura juga sangat bergantung pada import gas asli dan kenaikan harga elektriknya yang menjejaskan ekonomi dan memberi kesan kepada perniagaan untuk bertahan dalam persekitaran krisis pandemik.

Tarif tenaga untuk isi rumah baru-baru ini dinaikkan kepada 27.22 sen setiap kWj bagi tempoh suku pertama 2022 berbanding 25.8 sen setiap kWj pada suku sebelumnya.

Pada masa yang sama, tarif gas untuk isi rumah telah disemak naik kepada 21.62 sen setiap kWj daripada 20.37 sen setiap kWj dalam tempoh yang sama.

Ini bermakna, tarif telah dinaikkan sebanyak 22.6 peratus pada Januari manakala tarif gas meningkat sebanyak 17.3 peratus pada asas tahun ke tahun.

Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) adalah rangka kerja berdasarkan jangkaan kos pengeluaran masa hadapan dan rujukan tarif.

Ia digunakan secara meluas di seluruh sektor utiliti untuk menentukan tarif dan diterima pakai oleh negara seperti United Kingdom, Australia, Jepun, Singapura dan New Zealand.

Di Malaysia, tarif semasa telah dilaksanakan sejak tahun 2014, IBR diperkenalkan untuk memastikan tarif yang telus ditetapkan manakala ICPT adalah mekanisme di bawah rangka kerja itu.

ICPT ditentukan berdasarkan pergerakan harga bahan api sebenar, ia membolehkan kerajaan menentukan langkah yang sesuai untuk bertindak balas terhadap turun naik harga dalam pasaran global.

Ia membolehkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai pengendali utiliti untuk menyatakan perubahan yang berlaku, sama ada kenaikan atau pengurangan bahan api serta kos berkaitan penjanaan lain dalam tarif elektrik pada setiap enam bulan dalam bentuk rebat atau surcaj.

Melalui sokongan pembiayaan KWIE, industri elektrik berjaya mengurangkan impak harga bahan api dalam Tempoh Kawal Selia 1 dan 2, membolehkan jumlah rebat RM8.6 bilion diberikan kepada rakyat berbanding surcaj yang dikenakan sebanyak RM3.7 bilion sejak 2015.

Bagaimanapun, ia terserah kepada kerajaan untuk memutuskan sama ada akan menaikkan surcaj atau mengekalkan rebat, isi rumah mungkin perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, isi rumah digalakkan untuk mengguna pakai inisiatif kecekapan tenaga dan mengurangkan penggunaan elektrik yang tidak perlu untuk meminimumkan kesan sebarang surcaj yang mungkin dikenakan.

Untuk rekod, surcaj tidak pernah dikenakan kepada isi rumah.

-BERNAMA

Berita Harian X