Khamis, 31 March 2022 | 1:14pm
Permintaan domestik dijangka berkembang sebanyak 7.2 peratus tahun ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim
Permintaan domestik dijangka berkembang sebanyak 7.2 peratus tahun ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim

CGS-CIMB kekal unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: CGS-CIMB mengekalkan unjuran pertumbuhan 2022 untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 5.6 peratus tahun ke tahun.

"Kami masih dengan unjuran kami walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) membuat semakan terkini ke atas unjuran pertumbuhan KDNK 2022 kepada antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus daripada 5.5 dan 6.5 peratus sebelum ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Ia turut menjangka penggunaan swasta kekal teguh, dengan menyatakan BNM nampak lebih optimistik terhadap trajektori pertumbuhan domestik Malaysia, mengunjurkan pertumbuhan penggunaan swasta pada sembilan peratus, membawa kepada pertumbuhan permintaan domestik sebanyak 7.2 peratus tahun ke tahun.

Firma penyelidikan itu turut mengingatkan pasaran untuk lebih berwaspada akan kesan pusingan kedua inflasi kerana BNM tidak menyentuh sebarang penanda utama untuk normalisasi dasar monetari akan datang seperti yang dilakukan dalam laporan tahunannya sebelum ini.

Untuk makluman, penanda yang diberikan sebelum ini adalah - penggunaan swasta yang mampan tanpa sokongan fiskal yang berlebihan, peningkatan dalam pasaran buruh, mengecilkan jurang pengeluaran dan akses yang sihat kepada pembiayaan.

"(Kali ini,) bank pusat lebih menumpukan kepada isu inflasi, sambil memetik faktor kenaikan harga barang dan perkhidmatan baru-baru ini, sekali gus membayangkan bank pusat boleh bertindak balas jika tekanan inflasi menjadi lebih mendalam," katanya.

Semasa mengadakan sesi libat utus bersama penganalisis, BNM membayangkan bahawa ia melihat pada set penunjuk yang lebih luas sebelum memutuskan kenaikan kadar melebihi penanda yang dinyatakan.

"Mengenai inflasi, BNM mahu melihatnya secara menyeluruh, menunjukkan ia mahukan bukti inflasi yang menjuruskan kepada tekanan gaji dan seterusnya kesan pusingan kedua berpunca daripada bahagian permintaan.

"Oleh itu, penunjuk seperti pertumbuhan gaji, jangkaan inflasi dan peningkatan berterusan dalam inflasi teras harus dipantau dengan teliti," kata CGS-CIMB.

Namun begitu, BNM berkata sebarang perubahan dasar monetari akan dilakukan secara beransur-ansur, memandangkan risiko penurunan yang ketara.

"Secara keseluruhan, kami masih mengekalkan jangkaan kami untuk dua kenaikan kadar 25 mata asas pada separuh kedua tahun ini," tambah CGS-CIMB.

-BERNAMA

Berita Harian X