Rabu, 30 March 2022 | 3:18pm
Keadaan tidak dijangka akibat pandemik memerlukan sokongan monetari oleh bank pusat - Foto hiasan
Keadaan tidak dijangka akibat pandemik memerlukan sokongan monetari oleh bank pusat - Foto hiasan

Dasar monetari sedia ada kekal akomodatif

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan bahawa pendirian berkaitan dasar monetari semasa kekal wajar dan akomodatif berdasarkan unjuran serta pertumbuhan inflasi pada 2022.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata bank pusat itu turut mengambil maklum mengenai keadaan tidak dijangka dan tidak pernah berlaku sebelum ini yang sebaliknya memerlukan sokongan monetari ketika kemuncak pandemik COVID-19 dan kini hampir berakhir.

Sejajar dengan penetapan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras terendah 1.75 peratus, BNM juga menyedari kesan serta impak mengekalkan paras berkenaan dalam tempoh lama serta boleh menyumbang kepada ketidakseimbangan kewangan.

"Bagaimanapun, kita sentiasa memantau secara teliti sebarang petanda dan potensi akibatnya sama ada tekanan harga dapat diperkukuh oleh faktor-faktor permintaan domestik.

"Malah, kita akan mengambil kira semua pertimbangan ini dan memastikan sebarang potensi pelarasan OPR juga bersandarkan keyakinan bahawa kita berada pada tahap trajektori pertumbuhan yang kukuh," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena pelancaran penerbitan Laporan Tahunan BNM 2021 (AR 2021), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 (EMR 2021) serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi separuh kedua 2021 secara maya, hari ini.

Mengulas perkembangan ringgit, Nor Shamsiah menyifatkan prestasi mata wang tempatan itu sebagai relatifnya stabil dan seiring dengan pemulihan mata wang serantau lain.

BNM menjangkakan inflasi keseluruhan sekitar 2.2 peratus hingga 3.2 peratus pada 2022, namun unjuran inflasi tersebut akan bergantung kepada faktor seperti pasaran komoditi global dan gangguan berkaitan bekalan.

"(Prestasi) ringgit kita akan ditentukan oleh pasaran. Pendirian pengguna dari segi impak langsung kenaikan harga minyak akibat inflasi bahan api dijangka mereda dengan jangkaan harga siling runcit bahan api kekal sepanjang tahun ini," katanya.

Selain itu, Nor Shamsiah berkata, bank-bank turut meningkatkan kewaspadaan masing-masing berkaitan perkembangan risiko kredit, khususnya bagi peminjam dalam jumlah besar serta mereka dalam sektor-sektor yang terjejas.

Menurutnya, bank-bank terbabit juga didapati lebih proaktif dalam mengenal pasti aset-aset bermasalah dan membuat persiapan sewajarnya terhadap sebarang potensi kerugian kredit.

"Berikutan itu, sistem perbankan telah bertindak mewujudkan penampan yang kukuh dan membolehkan usaha untuk menyerap kerugian signifikan daripada peminjam-peminjam besar.

"Pada masa ini, peruntukan terhadap kerugian dalam sistem perbankan adalah sekitar paras tertinggi iaitu 143 peratus.

"Atas alasan inilah kita kerap melaksanakan ujian tekanan ke atas sistem perbankan," kata beliau.

-BERNAMA

Berita Harian X