Isnin, 28 March 2022 | 8:37am
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Farid Alias
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Farid Alias

Bank digital cetus persaingan sihat sektor perbankan

KUALA LUMPUR: Penubuhan bank digital di Malaysia dijangka menggalakkan persaingan sihat dalam industri perbankan di negara ini, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Farid Alias.

Beliau berkata, digital akan menyediakan peluang menarik kepada pasaran memandangkan tujuan penubuhannya adalah untuk memenuhi keperluan segmen yang kurang atau tidak mendapat perkhidmatan kewangan.

Katanya, kumpulan perbankan terbesar di Malaysia dan keempat terbesar di Asia Tenggara itu bersedia untuk persaingan, selain percaya menerusi kemajuan teknologi dan digital, akses kepada perbankan akan menjadi lebih mudah, lancar serta cekap.

Jelasnya, Maybank sudah beralih daripada menjadi bank tradisional tulen kepada model hibrid dengan pengenalan aplikasi gaya hidup, MAE by Maybank2u, memberi pengalaman pengguna lebih baik.

"Kami memperkenalkan penyelesaian pembiayaan digital di Malaysia merentasi segmen runcit dan bukan runcit untuk produk seperti gadai janji, pembiayaan peribadi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya kepada BH dalam satu temubual secara maya, baru-baru ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengumumkan senarai penerima lesen bank digital menjelang akhir bulan ini.

Berdasarkan perangkaan, Maybank meluluskan pinjaman RM1.9 bilion kepada lebih 11,000 perusahaan mikro setakat ini menerusi Pembiayaan Digital PKS, sejak ia dilancarkan pada September 2020.

Abdul Farid berkata, Maybank juga mencipta pasaran untuk membolehkan pelanggan dan komuniti berkembang maju menerusi platform e-dagang, Sama-Sama Lokal, apabila MAE kini boleh membuat pesanan makanan menggunakan aplikasi sama.

Beliau berkata, Sama-Sama Lokal diperkenalkan Maybank untuk membantu peniaga tempatan mengembangkan perniagaan secara digital dan ketika ini, ia mempunyai 30,000 pedagang.

Sementara itu, Abdul Farid yang juga Pengerusi Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) berkata, prospek industri perbankan tahun ini dijangka lebih baik sejajar dengan pemulihan ekonomi domestik dan luaran dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sempadan negara.

Beliau menjangkakan, BNM akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) hujung tahun ini dengan jangkaan peningkatan sebanyak 25 mata asas.

Mengenai konsolidasi industri perbankan tempatan, beliau tidak melihat keperluan itu, sebaliknya menjelaskan, iaboleh berlaku jika sesetengah bank merasakan bahawa mereka boleh memperoleh nilai yang lebih besar melalui penggabungan dan pengambilalihan (M&A) untuk peluang pertumbuhan.

Berita Harian X