Rabu, 16 March 2022 | 3:15pm
Pelaksanaan 5G di Malaysia akan menggunakan rangkaian borong tunggal (SWN) - Foto hiasan
Pelaksanaan 5G di Malaysia akan menggunakan rangkaian borong tunggal (SWN) - Foto hiasan

Kerajaan muktamad guna model rangkaian borong tunggal 5G

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju mengekalkan model rangkaian borong tunggal (SWN) bagi pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G di negara ini dengan membuka tawaran pemilikan ekuiti sehingga 70 peratus dalam Digital Nasional Bhd (DNB) kepada syarikat telekomunikasi (telco).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata dengan struktur pemilikan baharu, kerajaan akan memegang 30 peratus ekuiti dalam DNB.

Beliau berkata, DNB akan dikawal selia oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), selaku kementerian yang bertanggungjawab ke atas industri telekomunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), manakala Kementerian Kewangan (MOF) akan terus memantau DNB dari segi tadbir urus dan sebagai pemegang saham.

Katanya, mengekalkan model SWN adalah pendirian tegas kerajaan terhadap kesinambungan dasar di Malaysia, malah turut melambangkan model perkongsian awam-swasta Malaysia yang kukuh, serta kemantapan ekosistem pembiayaan sektor swasta, yang semuanya akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara ini.

"Selepas mempertimbangkan beberapa model yang berbeza untuk pelaksanaan rangkaian 5G nasional, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian dan infrastruktur 5G negara yang berpandukan bekalan dan berdasarkan pemulihan kos melalui SWN.

"Seperti yang diputuskan oleh Jemaah Menteri, kerajaan akan menawarkan sehingga 70 peratus daripada ekuiti DNB kepada

pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sidang media bersama itu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Tengku Zafrul berkata, DNB diunjurkan untuk mengekalkan harga borong semasa 5G kurang daripada 20 sen setiap Gigabait (GB), yang dijangka menjadikan kos 5G lebih berpatutan, malah lebih rendah daripada kos semasa untuk menghasilkan 4G.

Beliau berkata, ia juga akan menggalakkan penggunaan dalam kalangan pengguna dan perusahaan, serta mengurangkan kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan di Malaysia.

Katanya, pelaksanaan rangkaian 5G adalah penting bagi Malaysia untuk mencapai sasaran yang ditetapkan dalam Rangka Tindakan

Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

"Kelewatan dalam pelaksanaan rangkaian 5G akan menjadikan ekonomi Malaysia kurang berdaya saing berbanding negara serantau yang sudah mempunyai rangkaian 5G.

"Kelemahan dari segi daya saing sedemikian akan menjejaskan pelaburan domestik dan asing, serta menjejaskan agenda pembangunan negara," katanya.

Tengku Zafrul berkata, ekonomi digital menyediakan peluang baharu yang luar biasa kepada Malaysia, terutama dalam mempercepatkan kesalinghubungan di seluruh negara dalam era pasca pandemik untuk memudahkan usaha pemulihan serta perjalanan ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.

Berita Harian X