Selasa, 15 March 2022 | 4:58pm
Bangunan Bank Negara Malaysia. NSTP/YAZIT RAZALI.
Bangunan Bank Negara Malaysia. NSTP/YAZIT RAZALI.

BNM, Bank Dunia nilai risiko kewangan

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Dunia mengeluarkan laporan mengenai risiko kewangan berkaitan alam semula jadi untuk bank-bank negara ini.

Laporan bertajuk 'An Exploration of Nature-related Financial Risks in Malaysia' itu antara lainnya menganalisis data tempatan serta global bagi mengkaji kaitan antara sektor kewangan Malaysia dengan alam semula jadi serta potensi dedahan ke atas risiko berkenaan menerusi aktiviti pembiayaan terbabit.

Pada masa sama, laporan berkenaan menjadi platform bagi kajian lanjut mengenai risiko berkaitan alam semula jadi selain mengetengahkan kepentingan untuk menangani aspek kehilangan alam semula jadi dan perubahan iklim secara sewajarnya.

Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata dalam memahami tindak balas sektor kewangan, aspek pemahaman mengenai interaksi antara biodiversiti dan daya tahan iklim adalah penting dari sekurang-kurangnya dua perspektif.

"(Oleh itu) adalah penting untuk menggalakkan keberkesanan usaha semasa bagi menangani krisis iklim dan membolehkan sektor kewangan memanfaatkan inisiatif terbabit bagi mempercepat tindak balas yang diperlukan bagi menangani risiko berkaitan alam semula jadi secara meluas.

"Ini termasuk inisiatif bagi membangunkan aspek kapasiti dan menangani jurang data," katanya pada majlis pelancaran laporan itu di sini, hari ini.

Sejajar dengan pertimbangan itu, Nor Shamsiah berkata, Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip yang diperkenalkan bagi sektor kewangan di Malaysia merangkumi prinsip 'tidak memberi ancaman besar terhadap alam sekitar' yang memerlukan aktiviti ekonomi bagi melindungi ekosistem dan biodiversiti yang sihat.

Menurutnya, walaupun pada dasarnya tanggung jawab itu terletak di tangan kerajaan, kalangan industri dan pihak berkuasa kewangan juga mempunyai kepentingan besar dalam meningkatkan pemahaman dan penghayatan terhadap interaksi antara risiko berkaitan iklim dengan alam semula jadi.

"Ini penting kerana cara risiko ini berkembang juga boleh mempengaruhi serta turut dipengaruhi oleh tindakan institusi kewangan," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia juga antara negara dengan kepelbagaian mega dengan aktiviti mata pencarian dan ekonominya disokong oleh ekosistem semula jadi.

"Ekonomi kita secara asasnya terikat dalam sesawang sistem semula jadi yang menyediakan, memberi sokongan, mengekalkan serta mengawal selia aktiviti-aktiviti. Sehubungan itu, jika sistem ini lumpuh, ia akan memberi ancaman serius ke atas masyarakat dan ekonomi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Ndiame Diop, berkata usaha mengenal pasti dan mengukur risiko kewangan berkaitan alam semula jadi akan membolehkan pihak berkuasa memberi keutamaan terhadap inisiatif dalam skop mandat mereka untuk menguruskan kebimbangan terbabit.

Malah, tegasnya, usaha yang sedang dijalankan bagi mengurangkan risiko iklim juga dapat dimanfaatkan untuk mengurangkan impak akibat kehilangan berkaitan alam semula jadi.

Satu laporan Bank Dunia yang dikeluarkan pada tahun lalu menganggarkan bahawa kelumpuhan perkhidmatan ekosistem terpilih yang disediakan oleh alam semula jadi seperti pendebungaan secara liar, makanan daripada perikanan marin serta kayu-kayan di hutan asli, boleh menyebabkan kerugian ekonomi di peringkat global mencecah AS$2.7 trilion setahun menjelang 2030 jika masih terdapat negara yang gagal membuat pelaburan dalam melindungi dan memulihara alam sekitar.

"Bagaimanapun, kerugian bagi negara-negara berpendapatan rendah berkemungkinan mencecah sehingga 10 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KDNK) setiap tahun menjelang 2030 sekiranya perkhidmatan bagi ekosistem seperti hutan, perikanan dan pendebungaan mengalami penyusutan secara ketara dan berleluasa," katanya.

Diop berkata, laporan yang dikeluarkan hari ini turut menyatakan sebarang keruntuhan separa ekosistem boleh mengakibatkan penyusutan 6.0 peratus dalam KDNK tahunan Malaysia menjelang 2030.

"Kerugian itu akan didorong oleh penurunan dalam permintaan eksport selain impak negatif daripada kelumpuhan sebahagian daripada perkhidmatan ekosistem perhutanan dan perikanan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kumpulan Bank Dunia akan terus memberi keutamaan tinggi ke atas aspek kemampanan dan tindakan iklim bagi menyokong pertumbuhan inklusif, pembangunan dan kestabilan kewangan. -- Bernama

Berita Harian X