Selasa, 15 March 2022 | 4:41pm
Menara Maybank. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI
Menara Maybank. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI

Maybank unjur pembiayaan peribadi meningkat

KUALA LUMPUR: Maybank mengunjurkan pertumbuhan sekurang-kurangnya 30 peratus dalam segmen pembiayaan peribadi pada tahun ini, dirangsang oleh pengenalan penyelesaian digital peribadi terkininya.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata, pihaknya telah melancarkan Pembiayaan Digital Peribadi Maybank baharu yang tersedia dalam pilihan konvensional atau Islamik di laman sesawang Maybank2u dan aplikasi MAE.

Penyelesaian terbaharu itu mempunyai enjin penentu keputusan yang boleh melakukan semakan prakelayakan dan menilai setiap permohonan pada masa nyata, untuk memberikan kelulusan serta-merta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong, berkata pelanggan baharu dan sedia ada yang berumur antara 21 sehingga 60 tahun boleh memohon untuk pembiayaan itu sehingga RM100,000 atau empat kali ganda daripada pendapatan bulanan (yang mana lebih rendah) dengan mudah tanpa perlu menghantar dokumen pendapatan.

Pemohon boleh menerima dana dalam tempoh 10 saat selepas kelulusan, sekiranya gaji mereka dimasukkan ke dalam Maybank, mempunyai pendapatan kasar sekurang-kurangnya RM42,000 dan memenuhi syarat kelayakan lain yang ditetapkan oleh pihak bank seperti memiliki profil dan skor kredit yang kukuh.

Pelanggan juga boleh menguruskan komitmen kewangan mereka dengan lebih baik melalui tempoh pembiayaan yang lebih panjang, sehingga enam tahun.

Chong berkata, Pembiayaan Digital Peribadi Maybank itu juga tidak memerlukan cagaran ataupun penjamin, menjadikan ia pilihan unggul untuk para pelanggan yang memerlukan wang tunai segera.

Pelanggan baharu atau sedia ada yang tidak mempunyai rekod pendapatan dalam Maybank juga boleh memohon pembiayaan berkenaan dengan memuat naik dokumen pendapatan mereka.

Pelanggan akan menerima keputusan pada hari yang sama, iaitu dana diberikan dalam masa satu hari selepas kelulusan, sekiranya memenuhi syarat kelayakan. -- Bernama

Berita Harian X