Selasa, 15 March 2022 | 11:30am
(Gambar fail) Ekonomi digital gaya hidup mencetus anjakan pada transaksi kewangan. Lokasi Jambatan Saloma. -NSTP/ASYRAF HAMZAH
(Gambar fail) Ekonomi digital gaya hidup mencetus anjakan pada transaksi kewangan. Lokasi Jambatan Saloma. -NSTP/ASYRAF HAMZAH

Bank digital akan menjadi pencabar kepada bank sedia ada

Bank digital dijangka menjadi pencabar kepada bank sedia ada menerusi pengenalan produk dan perkhidmatan yang lebih mengikut penyesuaian, pada kos penukaran yang lebih rendah, demikian mengikut penganalisis.

Ia juga dijangka menawarkan penggunaan lebih mudah dan pengalaman pelanggan yang lebih lancar dalam talian, melalui penggunaan Pengaturcaraan Aplikasi Antara Muka (API).

Affin Hwang dalam nota penyelidikannya, berkata ekosistem kewangan Malaysia jelas telah berkembang dengan kemunculan lebih banyak peserta perbankan bukan tradisional di dalam ruang kewangan yang cuba meraih peluang mendapatkan pendapatan yuran transaksi melalui peralihan pengguna kepada pembayaran elektronik (e-pembayaran) melalui kad kredit, kad debit dan e-wang (melalui kad prabayar atau e-dompet).

Katanya, pada masa sama gergasi e-dagang seperti Lazada, Shopee dan Atome juga menyertai persaingan ini dengan menawarkan perkhidmatan seperti 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian', yang mana juga adalah satu bentuk pembiayaan dan mula merebut penguasaan pasaran daripada bank sedia ada.

"Peralihan kepada mod pembayaran digital dipercepatkan semasa pandemik COVID-19 pada 2020 hingga 2021, dan kami mendapati bahawa penggunaan perbankan mudah alih telah meningkat dengan ketara sejak 2020, dengan nilai transaksi mencecah RM459 billion, naik 125 peratus tahun ke tahun (yoy) manakala pada 2021 meningkat lagi 74.3 peratus yoy kepada RM800 bilion.

"Kami melihat transaksi seperti pengeluaran wang tunai dan pemindahan melalui ATM telah menurun pada tahun 2020 hingga 2021," katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengumumkan penerima lesen Bank Digital pada hujung bulan ini.

Objektif pelancaran bank digital adalah untuk memenuhi agenda keterangkuman kewangan, iaitu, untuk mendekati segmen yang kurang mendapat perkhidmatan dan penduduk, khususnya kawasan luar bandar, yang mana adalah cadangan dalam Rangka Tindak Tindakan Sektor 2011-2020 / 2021-2026).

Penganalisis berkata, walaupun ia ketika ini negara mempunyai kadar penembusan perbankan yang tinggi iaitu 96 peratus, namun kemasukan bank digital ke dalam ekosistem akan mula memberi kesan dalam jangka masa terdekat dan juga mencipta nilai dalam jangka panjang.

Firma penyelidikan itu berkata, sementara itu pemain baharu yang akan memasuki pasaran dengan pengumuman lesen bank digital akhir bulan ini.

Katanya, bank digital di pasaran yang lebih maju telah terbukti dapat mengurangkan masa mendapatkan kelulusan, sementara pengalaman pelanggan yang baharu adalah lebih pantas dengan penggunaan e-KYC atau pengesahan pengenalan identiti (ID) masa nyata.

"Bank digital dijangka lebih inovatif dalam penawaran produk mereka seperti 'pembayaran hari gaji yang lebih cepat', kadar tukaran asing (forex) yang lebih murah, alat pelaburan dan perkhidmatan overdraf pada kadar yang lebih rendah," katanya.

Berita Harian X