Isnin, 14 March 2022 | 6:09pm
India membeli 214,651 tan minyak sawit dari Malaysia - Foto hiasan
India membeli 214,651 tan minyak sawit dari Malaysia - Foto hiasan

India berdepan kekurangan bekalan minyak makan

NEW DELHI: India akan berdepan dengan bekalan minyak makan yang lebih ketat berikutan konflik Russia-Ukraine dan keputusan Indonesia meningkatkan jualan minyak sawit untuk domestik, kata sebuah kumpulan perdagangan.

Kira-kira 152,000 tan minyak bunga matahari tiba di India pada Februari, dan kuantiti yang sama dijangka pada Mac kerana kapal yang berlepas sebelum konflik Russia-Ukraine akan tiba di pelabuhan India bulan ini, kata Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) yang berpangkalan di Mumbai pada Isnin.

"Konflik antara Russia dan Ukraine menjejaskan bekalan minyak bunga matahari," katanya.

Ia menyatakan bahawa ketidaktentuan dalam harga minyak makan juga diburukkan oleh langkah pengeluar minyak sawit terkemuka Indonesia minggu lalu untuk meningkatkan jualan domestik mandatori minyak sawit kepada 30 peratus daripada eksport yang dirancang oleh syarikat, berbanding 20 peratus sebelum ini.

Import minyak makan bulanan India berjumlah kira-kira satu juta tan, yang diterajui oleh minyak sawit.

Menurut data SEA, negara itu mengimport 454,794 tan minyak sawit pada Februari, mewakili 46 peratus daripada jumlah import minyak makannya.

India membeli 214,651 tan dari Malaysia, yang terdiri daripada 103,884 tan olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD), 108,617 tan minyak sawit mentah (MSM) dan 2,150 tan minyak isirong sawit mentah (CPKO).

-BERNAMA

Berita Harian X