Ahad, 13 March 2022 | 2:05pm
Kos subsidi boleh mencecah sehingga RM28 bilion tanpa pendekatan bersasar - NSTP/Azhar Ramli
Kos subsidi boleh mencecah sehingga RM28 bilion tanpa pendekatan bersasar - NSTP/Azhar Ramli

Dividen khas PETRONAS mungkin tampung beban subsidi

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin bergantung kepada syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS bagi mendapatkan dividen khas yang dapat menampung beban subsidi dan mengekalkan defisit fiskal kira-kira enam peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti diunjurkan.

Ahli Ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto, berkata akses kepada dana PETRONAS menjadi lebih penting pada masa sekarang, memandangkan bentuk skim subsidi bersasar yang akan dilaksanakan adalah masih tidak jelas.

"Memandangkan jurang besar antara harga sebenar dan harga disubsidi bagi bahan api RON95 yang dijual pada harga RM2.05 seliter berbanding kos RM3.70 (80 peratus lebih tinggi), potensi berlaku ketirisan daripada urus niaga 'kreatif' tidak boleh diketepikan sama sekali," katanya.

Mengenai lonjakan harga minyak mentah, beliau berkata walaupun ia memberi manfaat kepada keseimbangan perdagangan dan hasil fiskal bagi Malaysia, pengeluar minyak dan gas bersih itu terpaksa memilih antara peningkatan perbelanjaan fiskal sekiranya ia mengekalkan subsidi bahan api dan gelombang inflasi jika sebaliknya.

Beliau berkata, buat masa sekarang, kerajaan dijangka mempertimbangkan idea skim subsidi lebih bersasar yang membenarkan hanya isi rumah kurang berkemampuan menikmati bahan api diskaun, berbanding pendekatan pukal sedia ada.

Tanpa pendekatan sedemikian, katanya, kos subsidi boleh mencecah sehingga RM28 bilion, atau 1.7 peratus daripada KDNK tahun ini, berbanding hanya RM11 bilion, atau 0.7 peratus daripada KDNK tahun lalu.

"Dengan mengekalkan skim bahan api, kesan harga komoditi yang tinggi kepada inflasi domestik akan kekal relatif perlahan bagi Malaysia," katanya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberitahu Parlimen minggu lalu bahawa kerajaan akan menyemak semula mekanisme subsidi bahan api dan minyak masak agar ia lebih bersasar bagi membantu serta memberi subsidi kepada kumpulan rentan yang terkesan dan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan.

Berita Harian X