Ahad, 13 March 2022 | 11:05am
Harga barangan meningkat sehingga 20 peratus berikutan masalah rantaian bekalan berpunca krisis di Ukraine -NSTP/ Aziah Azmee
Harga barangan meningkat sehingga 20 peratus berikutan masalah rantaian bekalan berpunca krisis di Ukraine -NSTP/ Aziah Azmee

Konflik Russia-Ukraine beri impak besar komoditi

KUALA LUMPUR: Konflik yang berterusan antara Russia dan Ukraine telah menyebabkan harga komoditi di seluruh dunia melonjak di tengah-tengah kebimbangan dan reaksi mendadak terhadap kemungkinan kejatuhan dari segi bekalan.

Ini kerana, kedua-dua negara adalah pengeluar utama, antara lain, minyak bunga matahari, gandum dan jagung.

Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), Russia dan Ukraine secara bersama menyumbang 78 peratus, 29 peratus dan 19 peratus masing-masing untuk minyak bunga matahari, gandum dan jagung daripada anggaran perdagangan global 2021/22.

Justeru, apabila perang meletus, ia mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlaku kekurangan bukan sahaja minyak masak global tetapi juga produk yang berkaitan dengan industri seperti sabun, bahan api bio dan bekalan makanan lain.

Setakat 8 Mac, harga minyak bunga matahari adalah antara AS$2,900-AS$3,000 setiap tan di rantau Kesatuan Eropah.

Keadaan cuaca dan faktor berkaitan COVID-19 menyebabkan gangguan yang melampau dan perang melanda tatkala keadaan dunia dilihat semakin pulih, dengan vaksinasi global mendorong kembali kepada keadaan normal.

"Kita sudah pun mengalami kerugian pengeluaran global yang teruk dalam tempoh dua tahun lalu disebabkan oleh cuaca dan faktor berkaitan COVID-19. Kini, perang Russia-Ukraine pula mencipta satu lagi gangguan mendadak dalam harga minyak bunga matahari," kata Pengarah Eksekutif ISTA Mielke GmbH (Minyak Dunia), Thomas Mielke.

Beliau berkata, terdapat kekurangan yang meruncing dan pengguna mungkin akan kehabisan bekalan tidak lama lagi.

Membandingkan harga minyak sayuran utama setakat 4 Mac 2022, Mielke berkata harga minyak kacang soya meningkat kepada AS$1,773 satu tan tahun ke tahun daripada AS$1,147 satu tan, minyak bunga matahari mengukuh kepada kepada AS$2,100 satu tan tahun ke tahun daripada AS$1,500 satu tan manakala minyak sawit lebih tinggi kepada AS$1,760 satu tan tahun ke tahun daripada AS$1,010 satu tan.

Kira-kira 86 peratus daripada minyak sawit dunia kini dihasilkan di Indonesia dan Malaysia.

Di pasaran fizikal pula, harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia meningkat kepada RM8,400 satu tan manakala kontrak niaga hadapan MSM (FCPO) bulan semerta melonjak kepada RM8,757 satu tan.

Pada masa sama, harga kontrak FCPO bulan ketiga mencecah RM7,000 satu tan tahun ini buat kali pertama.

Kenaikan harga FCPO juga disebabkan oleh pengumuman Indonesia bahawa ia akan menaikkan obligasi pasaran domestik ke atas minyak sawit sebanyak 10 mata peratusan kepada 30 peratus (pengeluar mesti mengetepikan 30 peratus penghantaran MSM untuk pembeli tempatan).

Langkah Jakarta untuk menyekat eksport minyak sawit mulai 10 Mac dan seterusnya adalah untuk mengekang lonjakan harga minyak masak domestik.

"Permintaan untuk minyak sawit Malaysia mungkin berkurangan apabila Indonesia mula mengeksport semula dalam jumlah yang tinggi. Ini boleh berlaku dalam sekelip mata, sama seperti perang Russia-Ukraine yang menyebabkan harga tanaman menjadi lebih tinggi baru-baru ini," kata pengerusi LMC International Ltd, Dr James Fry.

Dalam pada itu, lebih daripada 250,000 pekebun kecil Malaysia boleh menikmati detik baik ini untuk seketika sebelum kebimbangan terhadap kos meningkat dan margin keuntungan menjadi kecil apabila bekalan baja turut terganggu akibat konflik kerana kedua-dua negara juga pengeksport baja utama.

"Russia mengebom sebuah kilang besar dan eksport serantau disekat; oleh itu kapasiti baja musnah. Russia, Belarus dan Ukraine adalah pengeksport baja utama dan ini akan membawa kesan besar dari segi kos pengeluaran dan ketersediaan (baja) untuk tanaman," kata Fry kepada Bernama.

Selain itu, beliau turut berpendapat bahawa konflik Moscow-Kyiv yang berpanjangan boleh menyebabkan kemelesetan dan seterusnya mengurangkan permintaan global untuk makanan.

"Ia akan berlaku perlahan-lahan dan sehingga itu, orang ramai akan cuba mengekalkan corak pemakanan mereka dan mungkin mengambil masa sebelum mereka mengurangkan makan di luar, malah memilih untuk menggunakan semula minyak masak untuk menggoreng," katanya.

Walaupun penurunan untuk permintaan makanan boleh menjadi peralihan dan berjangka pendek, perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk harga baja dan petrol, jelasnya.

Di Malaysia, kerajaan memberi subsidi kepada harga minyak masak dan petrol.

Buat masa ini, Fry berkata harga MSM mungkin kekal lebih tinggi sedikit untuk tempoh yang agak lama.

"Tanaman itu akan diniagakan antara AS$1,700 dan AS$2,100 setiap tan sehingga Julai manakala pada suku ketiga dan suku keempat, ia akan didagangkan antara AS$1,600 dan AS$1,800 setiap tan," unjurnya.

Menurut Niam Saw Yok, pekebun kecil yang mengusahakan kira-kira 30 hektar kawasan kelapa sawit, beliau menjangkakan harga MSM kekal pada harga tinggi semasa dan berkongsi pandangan sama dengan Fry mengenai harga baja yang semakin meningkat.

"Harga bagi 50 kilogram (kg) baja import adalah sekitar RM180 sekarang. Sebelum ini RM120. Tetapi sekarang, saya perlu mencari jenama tempatan yang berharga sekitar RM100-RM120 setiap 50 kg.

"Memandangkan saya mendapat manfaat daripada harga tanaman yang tinggi, saya masih boleh menguruskan kos dengan menggunakan jenama baja tempatan, yang sama baiknya dengan yang diimport," katanya.

Turut menyokong pendapat Fry ialah Pengarah Urusan Mydin Holdings Bhd, Datuk Wira Ameer Ali Mydin yang menyatakan harga barangan meningkat 15-20 peratus dan bukan sekadar minyak masak.

"Harga tepung juga semakin naik. Berbeza dengan minyak masak yang kita keluarkan (tempatan) dan diberi subsidi, kita import tepung dan ia tidak disubsidi dan kita boleh jangka harga tepung akan naik lagi dalam dua minggu akan datang.

"Jadi, harga roti canai dan kuih raya kita akan naik juga," katanya.

Namun begitu, katanya, Mydin iaitu rantaian runcit dan pasar raya besar halal terbesar dalam negara merancang terlebih dahulu pembelian dan kosnya, sekali gus dapat mengurangkan kesannya.

Namun bagi perusahaan kecil, mereka mungkin menghadapi masalah kos.

Pengasas EppelBakesByAmi, Hamimah Hamiz Mohamed, berkata dia pada mulanya menyerap kos tambahan, tetapi tidak mampu lagi berbuat demikian dan mungkin perlu menyalurkannya kepada pengguna.

Cara lain untuk menangani situasi ini ialah dengan memilih bahan peringkat kedua atau ketiga, yang bermaksud perlu berdepan dengan tahap kualitinya.

"Namun, saya tidak mahu mempertaruhkan kualiti kek dan kuih. Jadi, saya mungkin terpaksa menaikkan harga kerana saya tidak lagi dapat menyerap kos dan saya khuatir pesanan untuk kuih-muih/kek akan berkurangan tahun ini," kata beliau.

Pada masa ini, kerajaan memperuntukkan subsidi untuk 720,000 tan minyak masak.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kerajaan akan mengkaji semula mekanisme subsidi bahan api dan minyak masak supaya dapat dilaksanakan secara lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan.

Menteri itu berkata, berikutan konflik antara Russia dan Ukraine, harga minyak mentah dunia meningkat secara mendadak kepada lebih AS$100 setong, paras tertinggi sejak 2014.

Jika ia berterusan, jumlah subsidi untuk keseluruhan 2022 dijangka mencecah RM28 bilion berbanding RM11 bilion pada 2021.

-BERNAMA

Berita Harian X