Selasa, 8 March 2022 | 2:22pm
Konflik Russia-Ukraine menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan untuk minyak sayuran -NSTP/Hairul Anuar Rahim
Konflik Russia-Ukraine menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan untuk minyak sayuran -NSTP/Hairul Anuar Rahim

Harga sawit tinggi dijangka berlarutan sehingga Jun

KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal tinggi melebihi paras RM5,000 satu tan sekurang-kurangnya untuk separuh pertama tahun ini, meskipun ia mencecah paras tertinggi melepasi RM8,000 satu tan baru-baru ini, kata Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam.

Beliau berkata, paras tertinggi yang dicatatkan itu dilihat paras kemuncak buat masa ini dan jika terdapat krisis lain selain konflik Russia-Ukraine, ia boleh mendorong harga melepasi rekod tertinggi itu.

Katanya, permintaan yang tinggi terhadap MSM dan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan akan menyokong harga minyak boleh dimakan itu untuk kekal tinggi di atas paras RM5,000 satu tan dalam beberapa bulan akan datang.

"Saya rasa ini adalah kemuncak (melebihi RM8,000 satu tan). Jika ada krisis lain yang berlaku di samping konflik Russia-Ukraine, harga (MSM) akan meningkat melepasi paras tertinggi itu.

"Saya ragui untuk harga MSM kekal di atas paras RM7,000 satu tan untuk jangka panjang. Dengan krisis semasa, harga dijangka berada di atas RM5,000 untuk beberapa bulan akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik ke-33 (POC 2022) anjuran Bursa Malaysia Bhd di sini, hari ini.

Ahmad Parveez berkata, harga MSM yang tinggi ketika ini tidak menjejaskan permintaan terhadap minyak sawit negara terutama dari pengguna terbesar dunia bagi minyak sawit iaitu India.

Beliau berkata, kebimbangan krisis Russia-Ukraine terhadap bekalan mendorong peningkatan terhadap minyak sawit dan musim perayaan akan terus memacu permintaan.

Dalam pasaran fizikal, harga MSM mencecah paras tinggi RM8,400 satu tan baru-baru ini dengan kontrak hadapan bulan semasa meningkat untuk mencecah paras tertinggi RM8,757 satu tan, manakala harga penanda aras MSM mencecah paras RM7,000 satu.

Konflik terbaharu Russia-Ukraine menjejaskan eksport minyak bunga matahari dan minyak bijirin lain dari rantau Laut Hitam, sekali gus menjadikan minyak sawit dari negara ini sebagai pilihan untuk minyak sayuran.

Berita Harian X