Isnin, 28 Februari 2022 | 3:42pm
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali - Foto fail NSTP
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali - Foto fail NSTP

Malaysia elak dagangan terjejas konflik Russia-Ukraine

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mencari penyelesaian dan usaha lain yang lebih proaktif bagi memastikan prestasi cemerlang perdagangan negara pada tahun lalu dapat diulangi di tengah-tengah konflik antara Russia dan Ukraine, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

"Pada 18 Mac ini, kita akan secara rasmi menjadi anggota dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang mewakili satu pertiga dalam perdagangan dunia dan saya percaya ini akan memberi ruang kepada peserta industri tempatan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memasarkan produk dan perkhidmatan dalam kalangan anggota RCEP.

"Memandangkan pasaran di Malaysia kecil, maka pasaran yang kita akan nikmati melalui keanggotaan RCEP ini jauh lebih besar. Selain itu, kita juga akan menikmati tarif yang rendah atau tiada tarif langsung, maka ini adalah peluang yang terbaik untuk mengembangkan nilai eksport negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Resepsi Tahun Baru Cina 2022 anjuran kementeriannya di sini, hari ini.

Azmin berkata, sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia berharap konflik di antara Russia dan Ukraine dapat diselesaikan secara baik dan efektif demi kedamaian dunia dan juga ekonomi global.

Beliau berkata, sebarang konflik sudah pasti akan mempunyai kesan kepada ekonomi global dan ia tidak membantu mana-mana negara sekali pun.

"Malaysia sudah pun membuat pendirian mengenai situasi di Ukraine dan kita berharap ada satu penyelesaian yang efektif demi kedamaian dunia dan juga ekonomi global.

"Russia adalah sebuah ekonomi yang penting bukan saja untuk Malaysia tetapi untuk banyak negara di dunia ini. Jadi kita berharap semua pihak dapat duduk berbincang kerana hanya dengan perdamaian kita dapat janjikan satu kemakmuran yang lebih baik di masa akan datang," katanya.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, penyelesaian konflik amat penting memandangkan seluruh dunia baru pulih daripada kesan pandemik COVID-19, malah ekonomi Malaysia sendiri sedang beralih daripada fasa pemulihan ke pertumbuhan.

"Russia masih adalah kuasa ekonomi yang penting untuk kita, bukan hanya hubungan perdagangan tetapi bidang lain termasuk pendidikan, yang mana ramai pelajar kita berada di negara itu menyambung pelajaran di dalam bidang perubatan selama beberapa tahun.

"Kita juga terbabit dalam industri aeroangkasa dengan Russia. Ini pastinya akan menjejaskan sekiranya konflik berterusan dan kita mengharapkan satu penyelesaian yang baik dalam masa terdekat," katanya.

Berita Harian X