Khamis, 24 Februari 2022 | 12:36pm
Harga minyak terus melonjak dan mencecah paras yang menyulitkan pengguna di seluruh dunia - Foto Bloomberg
Harga minyak terus melonjak dan mencecah paras yang menyulitkan pengguna di seluruh dunia - Foto Bloomberg

Harga minyak dunia cecah AS$100 setong

Harga minyak Brent melepasi AS$100 setong buat kali pertama sejak 2014 apabila krisis Russia-Ukraine yang memuncak mencetuskan kebimbangan gangguan terhadap eksport tenaga kritikal di rantau itu.

Niaga hadapan di London melonjak setinggi 3.3 peratus selepas laporan bahawa Presiden Vladimir Putin membuat keputusan untuk menjalankan operasi khas bagi 'melindungi' wilayah Donbas, sebelum harganya turun semula di bawah ambang utama berkenaan.

Putin minggu ini mengumumkan beliau menghantar 'tentera pengaman' ke dua wilayah pemisah yang diiktiraf oleh Moscow, meningkatkan lagi kebimbangan dalam kalangan kerajaan di Barat terhadap pencerobohan penuh Ukraine.

Russia adalah pembekal utama tenaga kepada pelanggan global, dengan Eropah bergantung kepada negara itu bagi kira-kira suku bekalan minyak dan satu pertiga gas.

Keadaan yang merucing itu membimbangkan pasaran yang sudah pun berada di bawah tekanan, dengan bekalan minyak di seluruh dunia gagal memenuhi pemulihan pantas permintaan daripada pandemik.

Pakatan Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) yang dipimpin oleh Arab Saudi berdepan masalah untuk mengembalikan pengeluaran dengan pantas, menyebabkan beberapa peserta terbesar pasaran memberikan amaran bahawa pasaran menjadi semakin sempit.

Harga minyak dijangka mencecah purata AS$110 pada suku kedua tahun ini apabila ketegangan terhadap Ukraine terus meningkat, kata JPMorgan Chase & Co minggu ini.

Pasaran minyak mentah berkemungkinan menyaksikan harga lebih tinggi pada suku akan datang, sebelum berkurangan kepada purata AS$90 menjelang akhir tahun ini, katanya.

Pentadbiran Joe Biden sedang mempertimbangkan bekalan kecemasan minyak bersama pakatannya bagi mengimbangi kenaikan harga yang dicetuskan oleh tindakan Russia terhadap Ukraine.

Rumah Putih sebelum ini mengumumkan sekatan terhadap bank, hutang berdaulat dan kumpulan elit Russia.

Kembalinya minyak mentah ke paras tiga angka melengkapkan pemulihannya, kurang daripada tempoh setahun, apabila pasaran beralih daripada lebihan kepada kekurangan.

Ia mencerminkan ekonomi global kembali kepada normal lebih pantas daripada ia mendapatkan bekalan bagi semua jenis bahan mentah.

"Ketika permintaan pulih ke tahap sebelum COVID-19, bekalan benar-benar menghadapi kesukaran," kata ketua penganalisis pasaran di Vitol Group, Giovanni Serio.

Vitol adalah pedagang minyak bebas terbesar di dunia.

Selain minyak dan gas, Russia adalah pengeluar utama aluminium dan gandum. Ukraine juga adalah pengeluar gandum.

Kenaikan harga pelbagai komoditi menyumbang kepada lonjakan inflasi ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa dekad, memberi ancaman kepada krisis kos sara hidup jutaan penduduk dunia dan memaksa bank-bank pusat mempertimbangkan fasa langkah mengetatkan monetari.

"Harga minyak terus melonjak dan kini mencecah paras yang menyulitkan pengguna di seluruh dunia," kata ketua unit pasaran dan industri Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Toril Bosoni, dalam satu temubual di Bloomberg Television.

"Pasaran minyak benar-benar sempit."

-Bloomberg

Berita Harian X