Jumaat, 18 Februari 2022 | 4:49pm
Masalah rantaian bekalan menyebabkan rangkaian restoran makanan segera berdepan kekurangan stok kentang goreng - Foto Bloomberg
Masalah rantaian bekalan menyebabkan rangkaian restoran makanan segera berdepan kekurangan stok kentang goreng - Foto Bloomberg

Restoran makanan segera kekurangan stok kentang goreng

SINGAPURA: Rangkaian restoran makanan segera Asia Tenggara berdepan kekurangan stok kentang goreng ekoran masalah rantaian bekalan disebabkan penghantaran barangan sejuk beku yang perlahan.

Paparan menu di beberapa cawangan KFC milik Yum Brands Inc di Singapura memaklumkan pelanggan bahawa syarikat itu akan menggantikan pesanan sampingan kentang goreng dengan wafel kentang disebabkan 'gangguan bekalan global'.

Cawangan McDonald's Corp di Malaysia dan Indonesia menghentikan jualan bahagian kentang goreng bersaiz besar akhir bulan lalu di atas sebab sama, demikian menurut notis syarikat yang disiarkan menerusi laman Twitter.

Jurucakap bagi KFC di Singapura bagaimana tidak dapat memberi maklum balas segera berhubung perkara itu.

Rantaian bekalan global berada dalam tekanan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan penularan varian Omicron yang menyebabkan peningkatan pemeriksaan kastam di pelabuhan, selain isu kekurangan buruh di seluruh sektor pengangkutan.

McDonald's terpaksa mencatu kentang goreng di Jepun akhir tahun lalu selepas banjir di pelaburan Vancouver dan penularan COVID-19 telah menyekat bekalan.

Rangkaian restoran makanan segera biasanya menggunakan kentang goreng sejuk beku yang dihantar, berbanding mendapatkan sumber bekalan yang lebih dekat atau menghasilkannya sendiri.

Tidak jelas dari mana datangnya kentang goreng KFC Singapura, tetapi kontena barangan yang memasuki pelabuhan negara itu mengalami kelewatan yang lebih lewat daripada biasa.

Purata 17 kapal kontena setiap hari menunggu untuk berlabuh di pelabuhan kedua paling sibuk di dunia pada Januari, meningkat daripada 15 kapal pada Disember, menurut firma perisikan logistik project44.

-Bloomberg

Berita Harian X