Selasa, 15 Februari 2022 | 3:59pm
Tarif elektrik yang lebih tinggi dikenakan kepada pengguna bukan domestik - Foto hiasan
Tarif elektrik yang lebih tinggi dikenakan kepada pengguna bukan domestik - Foto hiasan

Harga komoditi, tarif elektrik dijangka lonjak inflasi

KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Securities Sdn Bhd meningkatkan unjuran inflasi kepada 2.5 peratus dari tahun ke tahun untuk 2022 daripada 2.2 peratus sebelumnya.

Firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan hari ini menjelaskan, unjuran kali ini merangkumi pelarasan kepada harga komoditi yang lebih berterusan serta perkembangan terkini termasuk kawalan harga dan tarif elektrik yang lebih tinggi bagi pengguna bukan domestik.

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan surcaj sebanyak 3.70 sen setiap kilowatt jam (kWj) mulai Februari hingga Jun 2022 berbanding rebat dua sen setiap kWj pada Julai 2021 bagi pengguna bukan domestik, manakala harga pengguna domestik kekal tidak berubah.

CGS-CIMB Securities akan menyemak semula unjuran inflasinya lebih tinggi jika andaian harga lebih rendah pada separuh kedua 2022 tidak menjadi kenyataan memandangkan prospek harga komoditi kekal sebagai faktor utama.

"Analisis kami mengenai impak pergerakan harga ke atas ekonomi menunjukkan bahawa kejutan harga global turun kepada indeks harga pengguna (IHP)," katanya.

Katanya, bagaimanapun, penggunaan swasta mungkin tidak terjejas secara negatif oleh kejutan harga positif, manakala kenaikan kadar faedah susulan inflasi yang lebih tinggi akan bergantung kepada sama ada inflasi itu datang dari bahagian permintaan atau penawaran.

Ekonomi masih berjalan di bawah paras pra-pandemik yang mencerminkan tekanan permintaan terhadap inflasi masih lemah.

Menurut CGS-CIMB Securities lagi, pelbagai langkah yang diumumkan oleh kerajaan boleh mengurangkan ketidakstabilan harga global daripada meresap ke peringkat domestik.

Ia juga meramalkan risiko inflasi yang agak kurang yang akan mengganggu pemulihan ekonomi dan menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan dalam negeri, terutama peningkatan dalam penggunaan swasta dan pasaran buruh.

BNM dijangka menaikkan kadar faedah dua kali pada separuh kedua tahun ini, sebanyak 25 mata asas setiap kali.

Langkah-langkah kerajaan mengimbangi tekanan harga global dan firma pembrokeran itu percaya bahawa terdapat risiko yang terhad untuk inflasi melampau kali ini.

Tekanan itu akan terus membina dalam beberapa bulan akan datang memandangkan bebarapa asasnya sedang bergerak ke arah itu.

"Malah, kita tidak mungkin melihat tekanan harga yang ketara secara global dalam tempoh terdekat. Beberapa pelonggaran dalam isu-isu rantaian bekalan termasuk kos pengangkutan yang lebih rendah akan memberikan beberapa kelegaan tetapi kami tidak mengharapkan banyak sokongan," katanya.

Ia menambah, kelewatan dalam pengambilan pekerja asing mungkin terus memberi tekanan kepada upah apabila syarikat cuba untuk menarik pekerja bagi memenuhi permintaan yang tinggi dan ini mungkin menyebabkan syarikat-syarikat ini memindahkan kos tersebut kepada pengguna.

-BERNAMA

Berita Harian X