Isnin, 14 Februari 2022 | 12:59pm
Gambar hiasan. Pemandangan bangunan pencakar langit yan pesat membangun ketika tinjauan Kuala Lumpur. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Gambar hiasan. Pemandangan bangunan pencakar langit yan pesat membangun ketika tinjauan Kuala Lumpur. - NSTP/AIZUDDIN SAAD

IHS Markit: Sektor perbankan Malaysia diunjurkan stabil

KUALA LUMPUR: Unjuran ke atas sektor perbankan Malaysia bagi 2022 adalah stabil memandangkan aktiviti ekonomi dijangka pulih kepada tahap sebelum pandemik COVID-19 melanda, sekali gus mewujudkan lebih banyak pekerjaan dan gaji yang lebih tinggi.

Menurut IHS Markit, sektor itu juga akan disokong oleh kenaikan kadar faedah secara beransur-ansur yang akan membantu bank meningkatkan margin faedah bersih dan keberuntungan.

Penganalisis Penyelidikan, Tanisha Bhardwaj berkata aliran positif itu sejajar dengan sentimen serantau yang positif di seluruh Asia Tenggara, dengan bank-bank di Thailand, Singapura dan Indonesia bersedia untuk pertumbuhan yang stabil pada tahun ini.

Beliau berkata dividen perbankan untuk keempat-empat pasaran itu dijangka meningkat sebanyak 9.25 peratus secara purata pada tahun kewangan 2022.

"Bagaimanapun, masih terdapat ketidaktentuan yang menyelubungi pandemik COVID-19 dan gangguan rantaian bekalan yang berpanjangan, serta risiko bencana alam seperti banjir," katanya dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Berdasarkan dividen akhir tahun bagi tahun kewangan 2021 yang diumumkan bulan ini, IHS Markit menjangkakan dividen agregat bagi sektor perbankan Malaysia meningkat sebanyak 26 peratus tahun ke tahun pada tahun kewangan 2021 kepada AS$3.43 bilion, selepas merosot 27.8 peratus pada tahun kewangan 2020 akibat COVID-19.

Tanisha berkata pembayaran dividen diunjurkan meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun pada tahun kewangan 2022, disokong oleh mudah tunai yang kukuh dan penampan modal, namun dalam masa sama menyedari terdapat gambaran yang bercampur-campur dari segi dividen pada tahun kewangan 2021.

AMMB Holdings memutuskan untuk menangguhkan pembayaran dividen sehingga akhir 2022 susulan pengurusan modal yang berhati-hati, manakala dividen akhir tahun CIMB Group dijangka meningkat lebih tiga kali ganda daripada tahun sebelumnya.

Maybank dan Public Bank juga dijangka terus menjadi penyumbang dividen utama.

Sementara itu, menurut penyelidikan CGS-CIMB Securities, peruntukan terlebih dahulu atau pertindanan pengurusan untuk COVID-19 adalah berjumlah RM6.84 bilion, yang merupakan satu anggaran besar, pada akhir September 2021 untuk semua bank Malaysia di bawah liputannya.

Firma pembrokeran itu menjelaskan pertindanan pengurusan menyumbang 35 peratus kepada jumlah pinjaman susut nilai kasar (GIL) bank-bank berkenaan, dengan jumlah pertindanan pengurusan terbesar direkodkan pada RM2.1 bilion oleh Maybank, diikuti Public Bank pada RM1.3 bilion.

CGS-CIMB menambah ini sepatutnya dapat menyediakan penampan yang kukuh terhadap sebarang peningkatan GIL pada 2022.

Ia menjelaskan pertindanan pengurusan hanya menyumbang kira-kira 2.4 peratus kepada jumlah pinjaman di bawah bantuan pembayaran balik.

"Kami tidak terlalu bimbang mengenai perkara ini kerana kami berpendapat hanya peratusan kecil daripada pinjaman ini yang akhirnya akan menjadi GIL berdasarkan kadar tunggakan pinjaman yang lebih positif susulan pembukaan semula ekonomi dan bantuan pembayaran balik berterusan yang ditawarkan oleh bank-bank kepada peminjam mereka, " menurutnya dalam nota penyelidikan.

Firma itu juga yakin peruntukan boleh ditulis semula pada 2023 – paling awal – jika nisbah GIL tidak meningkat pada 2022.

Ia menjangkakan masuk kira semula bagi setiap 10 peratus pertindanan pengurusan akan menaikkan unjuran keuntungannya bagi tahun kewangan 2023 terhadap bank-bank Malaysia kira-kira sebanyak 2.0 peratus.

"Kesannya akan berada dalam julat daripada 1.5 peratus untuk Public Bank Bhd (didorong asas keuntungan bersihnya yang kukuh) hingga 5.4 peratus untuk Alliance Bank (disebabkan nisbah pertindanan pengurusan sebanyak 71.2 peratus berbanding keuntungan bersih tahun kewangan 2023 bank itu)," tambah CGS-CIMB.

– Bernama

Berita Harian X