Jumaat, 11 Februari 2022 | 2:44pm
Prospek inflasi akan terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global -NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin
Prospek inflasi akan terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global -NSTP/Azrul Edham Mohd Aminuddin

Malaysia tidak berisiko alami stagflasi, hiperinflasi

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak berdepan situasi stagflasi dan hiperinflasi, tegas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata, situasi stagflasi yang berlaku pada 1970-an, apabila pertumbuhan ekonomi tidak berubah dan inflasi tinggi untuk tempoh yang panjang tidak mungkin dihadapi negara memandangkan pertumbuhan ekonomi dijangka tinggi pada tahun ini.

Katanya, inflasi keseluruhan dijangka sederhana dan menghampiri paras purata jangka panjang pada tahun ini, sementara inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko inflasi menjadi semakin tinggi dibendung oleh keadaan lebihan kapasiti dalam ekonomi dan pasaran pekerja.

Bagi situasi hiperinflasi, beliau menegaskan, keadaan itu tidak akan berlaku kerana ia adalah situasi yang sangat melampau, apabila inflasi bulanan menjadi sangat tinggi iaitu dengan mencecah dua angka.

"Jika melihat dalam tempoh 30 tahun lalu, kadar inflasi yang tinggi dicatatkan (Malaysia) ialah 8.5 peratus pada Julai hingga Ogos 2008 apabila harga minyak meningkat sekali ganda kepada hampir AS$150 setong berbanding AS$70 setong.

"Jadi, kita tidak berada dalam keadaan ini (inflasi sangat tinggi)," katanya ketika sidang media pengumuman prestasi ekonomi suku keempat 2021 secara maya, hari ini.

Nor Shamsiah berkata demikian bagi mengulas mengenai kemungkinan Malaysia berdepan situasi inflasi sangat tinggi dan stagflasi.

Mengulas keadaan inflasi pada 2021, gabenor bank pusat itu menjelaskan bahawa seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.2 peratus pada suku keempat 2021.

Beliau berkata, inflasi yang lebih tinggi pada suku keempat disebabkan terutama oleh harga elektrik yang kembali ke paras asal, susulan tamatnya pemberian diskaun bil elektrik selama tiga bulan yang dilaksanakan pada Julai 2021.

Katanya, inflasi teras meningkat sedikit kepada 0.8 peratus pada suku keempat apabila semakin banyak sektor dan kegiatan ekonomi dibuka semula.

"Pada 2021, purata inflasi keseluruhan adalah 2.5 peratus manakala inflasi teras mencatatkan purata sebanyak 0.7 peratus," katanya.

Nor Shamsiah berkata, walaupun pihaknya menjangkakan purata inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana tahun ini, prospek inflasi akan terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.

Berita Harian X