Jumaat, 11 Februari 2022 | 12:02pm
Prestasi ekonomi negara pada suku keempat mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus - Foto Bloomberg
Prestasi ekonomi negara pada suku keempat mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus - Foto Bloomberg

Ekonomi Malaysia berkembang 3.1 peratus tahun lalu

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia pada 2021 menunjukkan momentum pemulihan dengan mencatatkan pertumbuhan 3.1 peratus berbanding penguncupan 5.6 peratus pada 2020.

Prestasi itu menepati unjuran rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu pertumbuhan antara tiga hingga empat peratus bagi keseluruhan 2021.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi ekonomi negara pada suku keempat mencatatkan pertumbuhan 3.6 peratus seiring dengan pertumbuhan kukuh eksport dani import pada suku tahun berkenaan.

Katanya, daripada kedudukan ekonomi semasa, prestasi ekonomi 2021 masih di bawah paras pra-pandemik 2019.

"Walau bagaimanapun, prestasi ekonomi pada suku tahun keempat 2021 melepasi paras suku tahun keempat 2019 sebanyak 0.01 peratus.

"Prestasi ekonomi pada suku keempat 2021 dari segi penawaran dipacu terutama oleh sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian.

"Dari sudut permintaan pula, semua komponen perbelanjaan mencatatkan prestasi positif kecuali pembentukan modal tetap kasar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan prestasi ekonomi suku keempat 2020 secara maya, hari ini.

Yang turut hadir adalah Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Berita Harian X