Selasa, 8 Februari 2022 | 3:46pm
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin

Eksport minyak sawit Malaysia melonjak 40 peratus

KUALA LUMPUR: Pendapatan eksport minyak sawit negara melonjak 40 peratus kepada RM102 bilion tahun lalu, berbanding RM73 bilion yang dicatatkan pada 2020 disokong harga yang terus tinggi sepanjang 2021.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata jumlah keseluruhan eksport minyak sawit dan produk hiliran derivatif mencecah 24.3 juta tan tahun lalu.

Katanya, India mengekalkan kedudukannya sebagai pengimport nombor satu minyak sawit Malaysia membabitkan lebih 3.5 juta tan.

"Minyak sawit Malaysia menyumbang 24 peratus daripada pengeluaran minyak sawit global dan 31 peratus daripada eksport dunia pada 2021.

"Destinasi terkemuka lain yang mengimport minyak sawit Malaysia termasuk China, Belanda, Turki, Pakistan dan Filipina," katanya kepada peserta industri minyak sayuran di Hotel Parsian Azadi, Tehran sempena Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit (POTS).

Zuraida menekankan bahawa cabaran masih kekal dalam industri bernilai tinggi itu termasuk halangan bukan tarif seperti akses pasaran, amalan perdagangan dan persepsi negatif terhadap industri minyak sawit Malaysia.

"Industri minyak sawit Malaysia yang menawarkan kelebihan daya saing yang lebih baik berbanding minyak makan lain.

"Kami akan meneruskan usaha untuk menyebarkan fakta dan maklumat yang tepat bagi menentang kempen anti-sawit dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyangkal dakwaan penebangan hutan yang dikaitkan dengan industri minyak sawit Malaysia," katanya.

Mengenai peluang sektor swasta Iran dan Malaysia, beliau menggesa, kedua-dua pihak mentakrifkan semula pendekatan perniagaan bagi membentuk perkongsian dan pakatan strategik untuk meneroka pengembangan perniagaan minyak makan dan minyak sawit di Iran.

"Saya sangat optimistik dengan prospek dalam industri minyak dan lemak global. Pembukaan semula sektor ekonomi global berikutan COVID-19 menyebabkan permintaan kukuh untuk minyak sawit Malaysia, termasuk di Iran," katanya.

Iran adalah negara pengimport kelapan terbesar minyak sawit Malaysia pada 2021, dengan peningkatan 26 peratus kepada 404,320 tan tahun lalu dari 321,106 tan pada 2020.

Sementara itu, POTS Malaysia-Iran 2022 adalah siri ke-60 sejak diperkenalkan pada 2006 dan dianjurkan oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dengan sokongan daripada Persatuan Industri Minyak Sayur Iran (IVOIA).

Acara yang diadakan di Iran buat kali ketiga itu memberi penekanan kepada perdagangan minyak dan lemak.

Berita Harian X