Rabu, 2 Februari 2022 | 10:11am
(Gambar fail) Bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar. - NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN
(Gambar fail) Bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bangsar. - NSTP/ MOHD YUSNI ARIFFIN

Tarif elektrik: Kos operasi tinggi dorong kenaikan harga barang

KUALA LUMPUR: Pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj kepada semua pengguna komersial dan industri dijangka memberi tekanan kepada pemulihan syarikat terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), demikian kata Presiden Kebangsaan Persatuan PKS Malaysia, Ding Hong Sing.

Beliau berkata, syarikat yang terbabit dalam pembuatan terutamanya yang menggunakan tenaga elektrik yang banyak akan berdepan peningkatan kos.

Katanya, dengan kos overhead dan operasi yang tinggi akan mendorong kepada peningkatan harga barang.

Jelasnya, lazimnya, kos elektrik bagi kilang mewakili sekitar 5-35 peratus bergantung kepada jenis produk yang dihasilkan.

"Jika kos elektrik meningkat 10 peratus, bagi mereka dengan bil elektrik bulanan sebanyak RM100,000 sebulan akan berdepan kenaikan sebanyak RM10,000, sementara bagi mereka dengan bil elektrik RM10,000 sebulan, mereka berdepan peningkatan RM1,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata kepada BH bagi mengulas mengenai impak pengenaan surcaj elektrik 3.70 sen/kWj kepada pelanggan komersial dan industri.

Ding berkata, peningkatan kos elektrik sememangnya sukar kepada PKS di tengah-tengah pemulihan daripada impak negatif penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, dengan mengambil kira kedudukan semasa, masa yang sesuai untuk menaikkan kadar elektrik adalah dalam tempoh satu hingga dua tahun, yang mana dilihat keadaan lebih stabil.

Katanya, pada masa ini, banyak industri masih lagi berdepan kesukaran dan peningkatan kos elektrik akan memberi tekanan.

Namun di sebalik itu, pengekalan kadar tarif elektrik bagi pengguna domestik di Semenanjung Malaysia untuk Tempoh Regulatori Ketiga (RP3) dapat membantu rakyat menampung kos sara hidup yang tinggi berikutan impak pandemik dan bencana banjir.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Saravanan Thambirajah berkata walaupun berlaku peningkatan kos bahan api ekoran kenaikan harga arang batu di pasaran sehingga mencecah US$200 satu tan, kerajaan melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) akan menampung kos bahan api untuk tempoh Februari 2022 hingga Jun 2022.

Beliau berkata dengan subsidi ini, pengguna tidak perlu membayar kos yang tinggi untuk penggunaan tenaga elektrik.

"Kerajaan telah bersetuju untuk pemberian rebat dua sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. Kerajaan memperuntukkan dana KWIE sebanyak RM715 juta untuk menanggung kos tersebut," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga mengumumkan pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri, akan dikenakan surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak pengenaan surcaj 3.70 sen/kWj.

Ini kemungkinan menjadi sebab kos operasi mereka meningkat dan akan dipindahkan kepada pengguna seterusnya menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan dalam tempoh terdekat, katanya.

Berita Harian X