Isnin, 31 Januari 2022 | 2:56pm
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dr Abdul Halim Husin. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dr Abdul Halim Husin. - NSTP/SAIFULLIZAN TAMADI.

Sebahagian besar pengusaha Melayu terkesan kenaikan tarif elektrik

KUALA LUMPUR: Kenaikan tarif elektrik untuk pengguna komersial dan industri bermula esok sudah semestinya akan memberikan sedikit tekanan kepada pengusaha pengilang.

Bagaimanapun 80 peratus daripada pengusaha Melayu adalah di dalam industri servis jadi ia tidak akan menjadi bebanan kepada kebanyakan mereka, kata Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abdul Halim Husin.

"Namun pengilang dan dari industri lain yang menggunakan tenaga elektrik yang banyak akan sedikit terjejas.

"Tambahan pula apabila kos barangan asas bagi pembuatan telah pun naik sehingga 10 ke 30 peratus dan ini akan meningkatkan kos pengeluaran dan seterusnya meningkatkan harga di pasaran," katanya mengulas kesan kenaikan kadar tarif elektrik kepada BH, hari ini.

Mengulas lanjut Abdul Halim, berkata pihaknya melihat Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam keadaan terpaksa untuk menaikkan tarif ini.

"Kita bersimpati kepada TNB kerana kos arang batu telah naik sehingga 65 peratus sejak beberapa bulan yang lalu.

"Malah, mengikut dasar tarif yang dibuat pada 2014 lalu, kita memang terpaksa menaikkan harga tarif.

"Bagaimanapun kita berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana masih lagi memberi subsidi terhadap pengguna domestik. Jika kita menaikkan tarif terhadap pengguna domestik kita akan mengalami kesan berganda (double whammy) dan rakyat yang akan menanggung semua penderitaan," katanya.

Kerajaan pada Jumaat lalu menangguhkan pelaksanaan Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) TNB bagi Tempoh Regulatori Ketiga (RP3).

Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, kadar purata tarif asas elektrik kekal pada 39.45 sen per kilowatt jam (kWj) di Semenanjung sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, dari segi Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) separuh tahun, pengguna bukan domestik akan dikenakan caj 3.7sen/kwh mulai 1 Februari hingga 30 Jun 2022 (berbanding 2sen/kwh sebelum ini).

Berita Harian X