Jumaat, 21 Januari 2022 | 11:02am
RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia yang meliputi 15 negara - Foto Reuters
RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia yang meliputi 15 negara - Foto Reuters

Malaysia negara ke-12 kuat kuasa RCEP

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal menjadi penandatangan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang ke-12 untuk menguatkuasakan perjanjian itu selepas menyerahkan surat cara ratifikasi (IOR) kepada Sekretariat ASEAN pada 17 Januari lalu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, IOR berkenaan dihantar menerusi mandat yang diberikan oleh Jemaah Menteri pada 12 Januari 2022 untuk Malaysia meratifikasi RCEP.

"Selaras dengan Artikel 20.6 Perjanjian RCEP yang memperuntukkan bahawa perjanjian ini akan berkuat kuasa selepas 60 hari surat cara ratifikasi diserahkan kepada Sekretariat ASEAN selaku Depositary Perjanjian RCEP, Malaysia akan mula menguatkuasakan perjanjian ini pada 18 Mac 2022.

"Dengan penyerahan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN, Malaysia akan menyertai 11 negara penandatangan lain yang sudah melengkapkan proses ratifikasi iaitu Singapura, China, Jepun, Brunei, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan," katanya.

RCEP adalah perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia yang meliputi 15 negara dengan 2.2 bilion atau hampir satu pertiga (29.5 peratus) penduduk dunia, mewakili AS$25.8 trilion atau 29.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, berdasarkan Data Bank Dunia 2019.

MITI berkata, adalah penting untuk melihat pelaksanaan RCEP sebagai bukti kukuh usaha kerajaan bukan hanya untuk mendokong sistem perdagangan pelbagai hala, malah mengukuhkan integrasi ekonomi serantau dan menyokong agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).

Ia berkata, menurut laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) yang diterbitkan pada 15 Disember 2021, Malaysia dijangka menerima manfaat terbesar RCEP dalam kalangan negara anggota ASEAN dari segi eksport, dengan unjuran nilai peningkatan eksport sebanyak AS$200 juta.

Katanya, ia hasil daripada penghapusan dan pengurangan tarif untuk barangan dagangan, penambaikan kemudahan eksport dan import barangan dalam kalangan negara RCEP.

"Di samping itu, penyedia perkhidmatan termasuk e-dagang akan dapat menikmati akses pasaran yang lebih besar menerusi peningkatan bekalan

rentas sempadan serta menggalakkan keberadaan dan pembabitan mereka di pasaran RCEP," katanya.

Kenyataan menambah, pandemik COVID-19 menunjukkan kepentingan perdagangan dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan kesalinghubungan rantaian bekalan serantau terjamin.

Dalam hal ini, MITI berkata RCEP akan menjadi penggerak utama untuk Malaysia dalam usaha mencerdaskan semula aktiviti perniagaan dalam negara dan antarabangsa bagi pemulihan ekonomi negara pasca pandemik.

"Komuniti perniagaan sama ada dalam kalangan pengusaha kecil atau besar digalakkan untuk memanfaatkan peluang perniagaan dan pelaburan serta meningkatkan penyertaan dalam rantaian nilai serantau dan global yang ditawarkan oleh perjanjian perdagangan mega ini.

"Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan ekonomi terbuka dengan dasar mesra perniagaan dan pragmatik bagi terus memupuk iklim perdagangan serta pelaburan yang kondusif di negara ini," katanya.

Berita Harian X