Rabu, 12 Januari 2022 | 7:16pm
Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX akan memasang sistem solar PV di 16 tapak di Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkumi pelbagai bangunan termasuk masjid dan parkir, solar serta solar terapung, menjadikannya projek solar terbesar di IPTA. - Foto TNB
Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX akan memasang sistem solar PV di 16 tapak di Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkumi pelbagai bangunan termasuk masjid dan parkir, solar serta solar terapung, menjadikannya projek solar terbesar di IPTA. - Foto TNB

TNB, UPM pasang sistem solar terbesar IPTA

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX), menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui pemasangan sistem solar PV yang meluaskan lagi ciri-ciri kelestarian Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu.

Melalui Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE), GSPARX akan memasang sistem solar di 16 tapak merangkumi pelbagai bangunan termasuk masjid, bumbung parkir serta projek solar terapung iaitu Hidroponik-Aquavoltaic Bersepadu Skala Besar Pertama (First Large Scale Integrated Hydroponic-Aquavoltaic) bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan modal insan, sekali gus menjadikan ia projek solar terbesar di IPTA.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin, berkata kerjasama GSPARX-UPM itu adalah antara manifestasi sokongan penuh TNB terhadap agenda kerajaan untuk mencapai pengurangan pelepasan karbon, melalui komitmen hala tuju kelestarian TNB (TNB Sustainability Pathway) ke arah pelepasan sifar bersih (net zero emissions) menjelang tahun 2050.

"Di samping melaksanakan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan menjadi sebahagian daripada inisiatif menangani perubahan iklim, ia selaras aspirasi TNB untuk menjadi pembekal terunggul penyelesaian tenaga mampan," katanya pada majlis menandatangani SARE itu di UPM, pada 6 Januari lalu.

Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan dipihak GSPARX sebagai Pelabur PV Solar Berdaftar dan Naib Canselor UPM, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman menandatangani perjanjian itu.

Ia disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar; Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail.

Abdul Razak (tengah), bersama Hasan (kiri) dan Pengerusi Lembaga UPM, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamallullail (kanan), menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Supply Agreement With Renewable Energery (SARE) antara Dr Mohd Roslan (dua kiri) dan Ir Megat Jalaluddin (dua kanan). - Foto TNB
Abdul Razak (tengah), bersama Hasan (kiri) dan Pengerusi Lembaga UPM, YAM Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamallullail (kanan), menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Supply Agreement With Renewable Energery (SARE) antara Dr Mohd Roslan (dua kiri) dan Ir Megat Jalaluddin (dua kanan). - Foto TNB

Melalui pemasangan sistem solar berkapasiti 16.18MWp di 16 lokasi sekitar UPM itu, universiti berkenaan bakal menikmati penjimatan bil elektrik sebanyak RM114 juta untuk tempoh 25 tahun. Kerja-kerja pemasangan panel solar dijangka siap pada Julai 2022.

Pemasangan panel solar di UPM itu mampu mengurangkan 14,655 tan metrik karbon dioksida setahun. Ia bersamaan pembebasan asap 3,187 buah kenderaan setahun atau penyerapan karbon dioksida oleh 242,320 batang pokok dalam tempoh 10 tahun.

Selain itu, Dr Mohd Roslan berkata, usaha itu mengukuh jalinan kerjasama penyelidikan dan jaringan industri, terutamanya bagi pembangunan modal insan dan pelaksanaan projek sistem Aquavoltaics di Fakulti Kejuruteraan yang juga adalah First Large Scale Integrated Hydroponic-Aquavoltaic project cum Eco-Tourism in the World.

"Ia seiring dengan hala tuju universiti menerusi Pelan Strategik UPM 2021-2025 yang menekankan elemen kelestarian penyelidikan dan Inovasi serta pengukuhan jaringan industri dan masyarakat.

"UPM sebagai universiti paling lestari di Malaysia selama 12 tahun berturut-turut dalam UI-GreenMetric World University Ranking 2021 akan terus komited dalam mendukung usaha kelestarian," katanya.

Hingga kini, GSPARX telah menjalin kerjasama strategik bersama pelbagai pihak termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), TATI University College (TATIUC), Jabatan Kerja Raya (JKR), Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Sime Darby Properties, Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Seremban dan Majlis Bandaraya Ipoh.

Berita Harian X