Rabu, 12 Januari 2022 | 4:13pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) pada pelancaran Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, di Pavilion Malaysia hari ini. Turut hadir, Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid (kanan) serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz (kiri). - Foto BERNAMA
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (tengah) pada pelancaran Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, di Pavilion Malaysia hari ini. Turut hadir, Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Hasril Abdul Hamid (kanan) serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz (kiri). - Foto BERNAMA

MSC Malaysia kini dikenali Malaysia Digital

DUBAI: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan bahawa MSC Malaysia akan ditambah dan dinamakan semula sebagai Malaysia Digital.

Beliau berkata, MSC Malaysia perlu berubah berikutan perubahan pantas norma sosio-ekonomi sebagai tidak balas kepada kemajuan tetap teknologi digital.

"Sejak pengenalannya pada 1996, MSC Malaysia memangkin dan mentransformasi Malaysia menjadi ekonomi berasaskan pengetahuan.

"Ia dicipta untuk memupuk ekosistem kondusif yang dipacu oleh pembangunan infrastruktur canggih serta syarikat-syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam koridor yang dikenalpasti," katanya berucap pada pembukaan Hari Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai.

Berkongsi kejayaan inisiatif itu, Annuar berkata MSC Malaysia turut membantu memacu pertumbuhan ekonomi digital negara ini yang pada masa ini menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyampaikan ucapan pada pelancaran Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, di Pavilion Malaysia di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyampaikan ucapan pada pelancaran Minggu Ekonomi Digital Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, di Pavilion Malaysia di sini hari ini. - Foto BERNAMA

"Ia satu program yang tidak pernah disaksikan di dunia pada 1996 atau menjadi satu 'game changer' (pengubah).

"Dari pelbagai sudut, MSC Malaysia adalah permulaan asal ketika perkataan 'startup' (permulaan) itu masih belum wujud," katanya.

Menurutnya, kerajaan mengenal pasti ekonomi digital sebagai antara bidang pertumbuhan ekonomi utama Malaysia bagi mencapai pertumbuhan mampan sambil memastikan kemakmuran bersama diraih menerusi agihan adil serta saksama yang merentasi kumpulan pendapatan, etnik serta agama.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), ekonomi digital diunjurkan menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada KDNK Malaysia menjelang 2025.

Selain itu, kerajaan menerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan terus memacu kemajuan ekonomi digital ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara digital yang kompetitif dan hab digital ASEAN, kata beliau.

"Pandemik COVID-19 terbukti menguji kita dalam pelbagai aspek dan mengekang kemampuan untuk berkembang. Namun, pada masa sama, ia turut menjadi pemangkin bagi ekonomi digital, membuka laluan untuk teknologi e-dagang dan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) bagi meraih pertumbuhan yang hebat," katanya.

Annuar berkata, Malaysia juga tidak ketinggalan memanfaatkan gelombang digital, membangunkan ekosistem yang dijana oleh teknologi maju seperti kecerdasan buatan (AS), internet pelbagai benda (IoT) dan Analisis Data Raya.

MSC Malaysia akan dipertingkat & dikenali sebagai Malaysia Digital
MSC Malaysia akan dipertingkat & dikenali sebagai Malaysia Digital

Merujuk Laporan e-Conomy Asia Tenggara (SEA) oleh Google, Temasek dan Bain & Company, beliau berkata Malaysia mencatatkan sebanyak tiga juta pengguna digital baharu sejak pandemik bermula pada 2020 manakala 81 peratus daripada semua pengguna internet adalah pengguna perkhidmatan digital.

Laporan itu mengunjurkan ekonomi internet Malaysia secara keseluruhannya mencecah AS$21 bilion dari segi Nilai Dagangan Kasar (GMV) pada 2021 dan seterusnya AS$35 bilion menjelang 2025.

Pada September 2021, pendapatan e-dagang Malaysia berjumlah RM279 bilion, peningkatan sebanyak 17.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada awal tahun lalu, Malaysia melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau MyDIGITAL iaitu inisiatif bagi memacu transformasi digital dan memacu pertumbuhan ekonomi terbabit.

Ia menawarkan satu kerangka kukuh yang dapat membantu mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan dalam ekonomi digital, membantu 5,000 syarikat permulaan atau pemula niaga memulakan operasi dalam tempoh lima tahun berikutnya serta menarik pelaburan baharu bernilai RM70 bilion dalam sektor digital.

Dalam pada itu, Majlis Ekonomi Digital Negara dan Revolusi Perindustrian Keempat (MED4IR) pula menubuhkan Pejabat Pelaburan Digital (DIO) bagi kemudahan pelaburan digital di Malaysia.

Sejak memulakan operasi pada April 2021, pihak DIO memberi kemudahan pelaburan digital bernilai RM13.1 bilion di Malaysia yang merangkumi projek-projek pusat data manakala RM57.3 bilion projek digital lain kini dalam perancangan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz menyifatkan pelancaran Malaysia Digital dijangka dapat meningkatkan nilai Malaysia bagi menarik pelaburan digital menerusi rangka kerja baharu yang berteraskan tiga komponen utama iaitu ketangkasan, fleksibiliti dan perkaitan atau relevan.

"Kempen ini akan menjadi pemacu bagi melonjakkan ekonomi digital ke tahap baharu selain memupuk masyarakat yang progresif, saksama dan diterajui oleh aspek inovasi yang seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.

Minggu Ekonomi Digital adalah antara 26 program perdagangan dan perniagaan mingguan dengan tema tertentu yang dianjurkan oleh Pavilion Malaysia bagi acara Ekspo 2020 Dubai. - BERNAMA

MSC Malaysia memupuk ekosistem kondusif yang dipacu oleh pembangunan infrastruktur canggih.
MSC Malaysia memupuk ekosistem kondusif yang dipacu oleh pembangunan infrastruktur canggih.

Berita Harian X