Isnin, 10 Januari 2022 | 4:44pm
Gambar hiasan. Kilang Pentamaster Corporation Bhd di Medan Bayan Lepas, Bayan Lepas Industrial Park, Bayan Lepas, Pulau Pinang. - NSTP/MIKAIL ONG
Gambar hiasan. Kilang Pentamaster Corporation Bhd di Medan Bayan Lepas, Bayan Lepas Industrial Park, Bayan Lepas, Pulau Pinang. - NSTP/MIKAIL ONG

Indeks pengeluaran perindustrian melonjak tinggi

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 9.4 peratus pada November 2021 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pengembangan IPP ini disumbangkan oleh kenaikan 11.3 peratus dalam indeks pembuatan, 5.1 peratus dalam indeks elektrik dan 3.7 peratus dalam indeks perlombongan.

"Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 0.9 peratus didorong oleh indeks pembuatan dan indeks perlombongan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 11.3 peratus pada November 2021 selepas mencatatkan pertumbuhan 8.0 peratus pada Oktober 2021.

Beliau berkata subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan pada November 2021 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (17.8 peratus), produk makanan, minuman dan tembakau (12.9 peratus) dan produk petroleum, kimia, getah dan plastik (8.5 peratus).

Pada masa yang sama, pertumbuhan sektor pembuatan didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan eksport (12.5 peratus) dan industri berorientasikan domestik (8.8 peratus).

"Peningkatan bagi industri berorientasikan eksport disumbangkan terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal serta pembuatan kok dan produk petroleum bertapis.

"Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan," katanya.

Beliau berkata pertumbuhan bagi industri berasaskan domestik dipengaruhi oleh pembuatan produk makanan dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan.

"Sektor pembuatan bagi perbandingan bulan ke bulan turut meningkat 0.1 peratus berbanding Oktober 2021 yang mana kenaikan ini turut digambarkan oleh kapasiti penggunaan kilang yang lebih tinggi berbanding bulan lalu terutamanya dalam subsektor produk petroleum, kimia, getah dan plastik, kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain dan produk peralatan elektrik dan elektronik," tambahnya.

Mohd Uzir berkata musibah banjir yang berlaku di beberapa negeri pada Disember 2021 dijangka memberi impak yang minimum kepada prestasi sektor pembuatan dan berkemungkinan akan meningkatkan permintaan terutamanya perkakasan rumah akibat kerosakan yang berlaku semasa banjir.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata output sektor perlombongan tumbuh 3.7 peratus pada November 2021 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya yang disumbangkan oleh peningkatan 10.2 peratus dalam indeks gas asli.

Katanya IPP bagi tempoh Januari hingga November 2021 merekodkan pengembangan 7.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

"Peningkatan tersebut didorong oleh kenaikan dalam kesemua komponen; indeks pembuatan (9.6 peratus), indeks elektrik (2.1 peratus) dan indeks perlombongan (1.9 peratus), kata beliau.

– Bernama

Berita Harian X