Khamis, 6 Januari 2022 | 3:25pm
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)

Analisis kos-manfaat CPTPP sedang dimuktamad

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang dalam proses memuktamadkan dokumen analisis kos-manfaat (CBA) bagi ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Pengarah Kanan MITI bahagian rundingan strategik dan ketua perunding bagi CPTPP, Arividya Arimuthu, berkata dokumen itu dijangka dimuktamadkan pada minggu-minggu akan datang.

"Kami beri jaminan sebaik sahaja CBA bagi CPTPP dimuktamadkan MITI akan menyediakannya kepada orang ramai," katanya kepada Bernama.

CPTPP adalah perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang memberikan layanan keutamaan kepada anggotanya dengan 11 negara sudah memeterai perjanjian itu termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, Malaysia masih belum meratifikasikan perjanjian perdagangan itu.

Malaysia kekal sebagai negara penandatangan berserta dengan Brunei dan Chile, tetapi tidak menikmati kadar tarif keutamaan yang ditawarkan dalam perjanjian itu.

Perjanjian itu sudah dikuatkuasakan di Australia, Kanada, Jepun, New Zealand, Mexico, Peru, Singapura dan Vietnam.

Sehingga proses ratifikasi dipenuhi, Malaysia diberi status pemerhati dan tidak mempunyai sebarang hak untuk menghalang apa juga keputusan yang dibuat berkaitan dengan penguatkuasan perjanjian itu.

CPTPP merangkumi setiap aspek perdagangan termasuk e-dagang, perusahaan milik negara dan tambahan disiplin bagi hak harta intelektual serta halangan terknikal kepada perdagangan.

-BERNAMA

Berita Harian X