Khamis, 6 Januari 2022 | 2:23pm
Kebanyakan syarikat tidak melihat sebarang peningkatan dari segi pengeluaran cip dan semikonduktor sebelum pertengahan tahun ini - Foto Bloomberg
Kebanyakan syarikat tidak melihat sebarang peningkatan dari segi pengeluaran cip dan semikonduktor sebelum pertengahan tahun ini - Foto Bloomberg

Isu kekurangan cip global masih belum diatasi

NEW YORK: Masih belum ada penyelesaian jangka pendek bagi kekurangan bekalan cip dan semikonduktor yang menyebabkan harga lebih tinggi serta pengeluaran terlewat sehingga menjejaskan pelbagai industri daripada permainan komputer hingga pengeluar kereta, demikian menurut eksekutif sektor itu.

Pengeluar cip, Nvidia Corp melihat sedikit kemajuan dari segi bekalan pada separuh kedua tahun ini, kata Ketua Pegawai Kewangannya, Colette Kress pada Rabu di JP Morgan Tech /Forum Auto.

Kenyataan beliau itu disusuli oleh rentetan pembentangan oleh eksekutif lain turut mengulangi prospek syarikat cip masing-masing mengenai tempoh masa bekalan dan permintaan mungkin mencapai sedikit keseimbangan.

Hakikatnya adalah, kebanyakan syarikat tidak melihat sebarang peningkatan sebelum pertengahan 2022 dan ramai lagi mengatakan tidak berlaku sedemikian.

Sama seperti pembuat cip lain yang menyumber luar pengeluaran mereka, Nvidia berdepan kesukaran untuk mendapatkan bekalan yang mencukupi bagi memenuhi permintaan.

Sebagai contoh, Apple Inc berkata, ia 'kehilangan' pendapatan lebih AS$6 bilion (RM25 bilion) pada suku lalu kerana tidak mendapat komponen yang mencukupi.

Bagi salah satu syarikat yang menyediakan pembuatan kontrak, GlobalFoundries Inc, peningkatan penggunaan cip serta masa yang diperlukan untuk meningkatkan kapasiti, bermakna tahun ini boleh memberikan sedikit kelegaan.

"Sukar untuk membayangkan dalam tempoh dua tahun akan datang, satu titik yang mana kita tidak lagi memperkatakan mengenai isu bekalan," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tom Caulfield pada forum itu.

"Saya tidak nampak apa-apa kelegaan pada 2022," katanya.

Pembuat kereta pula kehilangan pendapatan berbilion dolar kerana tidak memperoleh komponen elektronik yang menjadi barangan penting kepada produk mereka.

Beberapa pembekal cip industri berpegang kepada pandangan berhati-hati mengenai tempoh masa mereka akan dapat mengisi tempahan dengan lebih cepat.

Ketua Pegawai Eksekutif ON Semiconductor Corp, Hassane El-Khoury memberitahu khalayak dalam talian bahawa permintaan akan terus mengatasi bekalan untuk sepanjang tahun ini.

Syarikat cip itu mengawal pengagihan kuasa dalam kenderaan, terutama yang menggunakan elektrik.

Analog Devices Inc., satu lagi pembekal cip automotif utama, bagaimanapun lebih optimistik.

Tempahan yang semakin meningkat akan menghabiskan semua bekalannya sehingga suku ketiga tahun kewangannya yang berakhir pada Julai ini, kata Ketua Pegawai Kewangan Analog Devices, Prashanth Mahendra-Rajah.

Namun, syarikat itu menjangka akan meningkatkan pengeluaran bekalannya dengan ketara pada suku keempat, katanya.

Semua eksekutif berhujah bahawa permintaan itu mencerminkan keperluan pelanggan masing-masing.

Tidak ada tanda-tanda peningkatan simpanan yang mungkin menyebabkan lebihan inventori dan kemudiannya menjejaskan permintaan, kata mereka.

-Bloomberg

Berita Harian X