Rabu, 5 Januari 2022 | 7:53pm
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin pada majlis pelancaran buku ‘Mari Kenali Sawit’ di Putrajaya, hari ini - Foto FB KPPK
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin pada majlis pelancaran buku ‘Mari Kenali Sawit’ di Putrajaya, hari ini - Foto FB KPPK

Buku 'Mari Kenali Sawit' ketengah manfaat minyak sawit

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melancarkan buku 'Mari Kenali Sawit' (Mari Kenali Minyak Sawit) untuk pelajar sekolah rendah dan menengah hari ini.

Ia mengetengahkan faedah minyak sawit serta sumbangannya kepada kelestarian dan pembangunan sosioekonomi.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berharap pelajar akan mendapat maklumat tepat mengenai minyak sawit daripada buku itu dan menyebarkan pengetahuan yang diperoleh kepada ibu bapa dan rakan sebaya mereka supaya lebih ramai orang dapat memahami industri komoditi dan minyak sawit.

"Ia adalah sangat penting untuk meningkatkan pengetahuan anak-anak kita mengenai salah satu komoditi terbesar Malaysia," katanya selepas pelancaran buku-buku itu sempena 'the Reach and Remind, Friends of the Industry Seminar 2022 and Dialogue' anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di sini, hari ini.

Selain itu, Zuraida turut melancarkan kempen Kebaikan Minyak Sawit Malaysia untuk memulakan tahun baharu bagi mengetengahkan pelbagai kelebihan minyak sawit dan produk berasaskan sawit.

Beliau berkata, minyak sawit memberikan banyak manfaat kepada hampir setiap lapisan masyarakat.

"Minyak sawit baik untuk kesihatan, alam sekitar, kemampanan, mata pencarian dan kemakmuran. Secara ringkasnya, ia penuh dengan kebaikan secara holistik.

"Saya berharap dengan kempen baharu ini, minyak sawit Malaysia akan mendapat pengiktirafan pada peringkat tempatan dan global untuk kesihatan dan bagi pelbagai kegunaan," katanya.

'

The Reach and Remind Friends of the Industry Seminar 2022 and Dialogue' memberi peluang kepada penggiat industri minyak sawit untuk mengemaskini isu dan cabaran semasa yang dihadapi oleh industri dan peluang untuk industri minyak sawit pada tahun 2022 dan pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Wan Aishah Wan Hamid dalam ucapannya berkata forum sehari itu adalah masa yang tepat untuk penggiat industri minyak sawit untuk lebih memahami pelbagai cabaran dan peluang dalam perdagangan minyak dan lemak yang sentiasa berubah.

"Jika tidak menyesuaikan diri dengan perubahan itu, kita akan sentiasa ketinggalan dan kesan negatif kepada ekonomi boleh membawa kemudaratan," katanya.

Beliau berkata, ketika dunia bergelut dengan dua cabaran iaitu pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan pandemik, perdagangan minyak sawit tidak terlepas daripada kesan itu.

"Terdapat pelbagai perubahan terhadap perubahan dalam perdagangan dan dasar politik memberi kesan mendalam yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam perdagangan antara negara.

"Pelaksanaan tarif, boikot dan tindakan membalas dendam antara negara adalah kebiasaan baharu. Di sebalik cabaran ini, negara kita kekal teguh dan berdaya tahan menghadapi cabaran," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X