Rabu, 5 Januari 2022 | 3:56pm
Lebih 90 peratus perdagangan dalam kalangan negara anggota yang meratifikasi perjanjian RCEP dikenakan tarif sifar - Foto hiasan
Lebih 90 peratus perdagangan dalam kalangan negara anggota yang meratifikasi perjanjian RCEP dikenakan tarif sifar - Foto hiasan

RCEP satu kejayaan besar untuk multilateralisme, dagangan bebas

BEIJING: China menyifatkan ratifikasi Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) sebagai kejayaan penting dalam multilateralisme (perdagangan pelbagai hala) dan perdagangan bebas global, kata jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin dalam sidang media di sini, pada Selasa.

RCEP dianggotai 10 negara termasuk China dan mula berkuat kuasa 1 Januari, menandakan pengoperasian perdagangan bebas secara rasmi membabitkan 30 peratus populasi penduduk dunia serta blok perdagangan terbesar dan paling berpotensi di dunia.

"Selepas perjanjian itu dikuatkuasa, lebih 90 peratus perdagangan dalam kalangan negara anggota yang meratifikasi perjanjian itu dikenakan tarif sifar, membabitkan ASEAN, China, Australia dan New Zealand.

"Ia potensi besar terhadap perdagangan serantau, di samping menggalakkan liberalisasi serta kemudahan perdagangan dan pelaburan global," jelas Wang.

Beliau berkata, pemulihan dan kemakmuran ekonomi global hanya dapat diwujudkan melalui amalan multilateralisme, peningkatan tahap keterbukaan, inovasi dan perkongsian.

"Selain sentiasa berpegang kepada dasar keterbukaan wilayah, China juga komited memelihara mekanisme perdagangan pelbagai hala dan menggalakkan integrasi ekonomi serantau," tegas Wang.

-BERNAMA

Berita Harian X