Ahad, 2 Januari 2022 | 12:30pm
RCEP menyumbang lebih satu perempat daripada perdagangan global - Foto Bloomberg
RCEP menyumbang lebih satu perempat daripada perdagangan global - Foto Bloomberg

RCEP berkuat kuasa bagi 10 negara

JAKARTA: Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuat kuasa pada Sabtu bagi 10 negara yang menyertainya, membuka laluan bagi pewujudan kawasan perdagangan bebas terbesar dunia.

Negara yang terbabit ialah Australia, Brunei, Kemboja, China, Jepun, Laos, New Zealand, Singapura, Thailand dan Vietnam, demikian menurut Sekretariat ASEAN.

"Perjanjian RCEP juga akan berkuat kuasa pada 1 Februari 2022 bagi Korea Selatan.

"Bagi negara-negara penandatangan lain, perjanjian itu akan berkuat kuasa 60 hari selepas pengemukaan instrumen ratifikasi mereka masing-masing, penerimaan atau kelulusan kepada setiausaha agung ASEAN sebagai depositari perjanjian terbabot," kata sekretariat itu dalam satu kenyataan.

Malaysia, Indonesia, Myanmar, dan Filipina adalah penandatangan lain yang masih belum meratifikasikan perjanjian itu.

Perjanjian perdagangan mega itu menyumbang AS$12.7 trilion, lebih satu perempat daripada perdagangan global dalam barangan dan perkhidmatan dan 31 peratus daripada aliran masuk pelaburan langsung asing global.

Sekretariat ASEAN berkata, ia kekal komited menyokong proses RCEP dalam memastikan pelaksanaan yang cekap dan berkesan yang seterusnya menyumbang kepada usaha pemulihan pasca pandemik global.

Malahan, penguatkuasan perjanjian itu adalah manifesto keazaman rantau itu untuk membukakan pasaran, mengukuhkan integrasi ekonomi dan menyokong sistem dagangan pelbagai hala yang bebas, adil dan berasaskan peraturan.

Perjanjian itu menyediakan komitmen akses pasaran baharu dan diselaraskan, peraturan moden dan disiplin yang memudahkan perdagangan dan pelaburan, kata sekretariat itu.

Ia juga menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan, mengukuhkan rantaian bekalan dan menyokong penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana dalam rantaian nilai dan hab pengeluaran.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan kesemua 15 negara yang menyertai RCEP dianggarkan bernilai AS$25.8 trilion, menyumbang kira-kira 30 peratus daripada KDNK dunia.

-BERNAMA

Berita Harian X