Jumaat, 31 Disember 2021 | 3:05pm
10 daripada 15 ahli RCEP sudah meratifikasi perjanjian - Foto hiasan
10 daripada 15 ahli RCEP sudah meratifikasi perjanjian - Foto hiasan

RCEP mula berkuat kuasa esok

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) akan berkuat kuasa esok, sekali gus menjadi pakatan perdagangan serantau terbesar di dunia selepas Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Menurut laporan daripada firma Baker McKenzie, 10 daripada 15 ahli RCEP sudah meratifikasi perjanjian itu antaranya Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, China, Jepun, New Zealand dan Australia.

Manakala, lima lagi ahli masih dalam proses untuk meratifikasi termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Korea Selatan.

"Malaysia sedang menggiatkan usahanya untuk menyelesaikan pindaan yang perlu membabitkan perundangan sedia ada bagi membolehkan Malaysia meratifikasi RCEP.

"Menteri Perdagangan Malaysia sudah menyatakan bahawa negara itu akan meratifikasi RCEP menjelang akhir 2021.

"Pada 2 Disember 2021, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri dan Penyatuan Dewan Negara Korea Selatan sudah mengundi untuk meratifikasi RCEP. Ratifikasi ini perlu mendapat kelulusan daripada sidang pleno dewan sebelum ia selesai secara rasmi," katanya.

Baker McKenzie berkata, Filipina juga menggandakan usahanya untuk menyelesaikan proses ratifikasi.

Ia berkata, Presiden negara itu sudah meluluskan dokumen yang diperlukan untuk RCEP pada September 2021 dan perkara yang sama akan dibentangkan di Senat untuk persetujuan dalam masa terdekat.

"Bagi Indonesia, walaupun kerajaannya sudah menyatakan hasrat untuk meratifikasi RCEP tidak lama lagi, terdapat kelewatan memandangkan isu domestik lain yang lebih mendesak, termasuk pengurusan COVID-19.

"Akhir sekali, tiada petunjuk jelas mengenai garis masa ratifikasi oleh Myanmar sejak rampasan kuasa politik," katanya.

Laporan Integrasi Ekonomi Asia 2021 oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) yang diterbitkan pada Mac 2021 menjelaskan, ahli RCEP diunjur meraih AS$174 bilion (RM716.5 bilion) dalam pendapatan benar menjelang 2030, menyamai 0.4 peratus agregat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ahli.

Berita Harian X