Jumaat, 31 Disember 2021 | 2:15pm
Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin.
Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin.

Kerajaan perlu terus kekalkan usaha pemulihan ekonomi

KUALA LUMPUR: Ketika rakyat Malaysia bakal meraikan Tahun Baharu esok, kerajaan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengekalkan momentum dalam usaha mencergaskan semula ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ia juga wajar menangani ketirisan kewangan berjumlah RM300 bilion disebabkan ekonomi gelap, kata Retail and Trade Brands Advocacy Malaysia (RTBA Malaysia) hari ini.

RTBA Malaysia, adalah sebahagian daripada kumpulan advokasi antarabangsa yang melindungi perniagaan di rantau Asia Pasifik daripada perlakuan jenayah, juga menggesa penggubal dasar di Malaysia supaya lebih bersatu di dalam merangka formula dan menyokong dasar-dasar yang akan membantu perniagaan sah di Malaysia untuk memulih dan berkembang di dalam norma baharu.

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Datuk Fazli Nordin, berkata Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bernilai RM400 bilion yang diumumkan sebulan lalu mengandungi intipati dan kejituan untuk menjana kesan pengganda yang diperlukan bagi memperkasa semula ekonomi Malaysia.

Ia akan memberi manfaat kepada perniagaan dan rakyat di seluruh negara.

"Walau bagaimanapun, adalah kritikal bagi RMK-12 dilaksanakan secara strategik dan penuh teliti bagi memastikan hasil-hasil yang positif dan kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia,''

tambahnya.

Fazli berkata, inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia pada 2021 bagi mengekang ketirisan juga berhasil dan harus dikekalkan, kalau boleh dipertingkatkan lagi.

"Satu siri inisiatif bagi menangani dagangan rokok seludup, yang telah mengakibatkan Kerajaan kerugian RM5 bilion dari segi hasil cukai yang tidak dapat dikutip, telah dilaksanakan pada 2021.

Ini termasuk antaranya, membeku pengeluaran lesen import baharu untuk rokok, mengetatkan pembaharian lesen import rokok, mengehad transshipment rokok di pelabuhan yang dikhususkan,

mengenakan cukai ke atas rokok import untuk eksport semula, melarang transshipment rokok dan mengeksport semula rokok menggunakan bot kecil,'' kata beliau lagi.

Beliau berkata, dasar penguatkuasaan ini telah menyebabkan insiden rokok seludup menurun sebanyak 5.9 mata peratusan, daripada 63.8 peratus pada 2020 kepada 57.9 peratus pada Mei 2021.

Sementara masih banyak yang perlu dilakukan bagi membanteras kegiatan jenayah ini ke atas ekonomi, trend penurunan rokok seludup yang tidak pernah berlaku ini adalah petunjuk kerajaan terus bertegas mengekalkan inisiatif ini bagi mendapatkan balik hasil negara.

RTBA Malaysia juga menegaskan bahawa kerajaan yang stabil adalah sangat penting untuk memastikan rancangan dan pakej rangsangan ekonomi serta dasar-dasar bagi menangani ketirisan

dilaksanakan secara berkesan.

"Kestabilan politik juga menarik pelaburan terus asing (FDI) sambil mewujudkan asas yang lebih tehuh bagi Pentadbiran untuk memerangi jenayah dan rasuah,'' kata Fazli.

Berita Harian X