Khamis, 30 Disember 2021 | 1:37pm
Antara ladang pertanian yang musnah ditenggelami air banjir ketika tinjauan sekitar Hulu Langat. - NSTP/Aizuddin Saad
Antara ladang pertanian yang musnah ditenggelami air banjir ketika tinjauan sekitar Hulu Langat. - NSTP/Aizuddin Saad

Cuaca luar biasa lonjak harga komoditi

PUTRAJAYA: Cuaca sejuk, angin kencang dan hujan lebat di kebanyakan tempat di Malaysia menjadi salah satu faktor kenaikan kos komoditi terutama sayur-sayuran.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata bilangan pekerja yang tidak mencukupi di kawasan ladang juga mengurangkan bilangan keluaran, seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan dan menyebabkan kenaikan harga.

"Baru-baru ini, hujan lebat menyebabkan banjir besar di beberapa negeri. Banjir ini memusnahkan kebanyakan tanaman dan kemudiannya boleh mengakibatkan gangguan dalam rantaian bekalan di mana ia mendorong kepada kecenderungan tekanan ke atas harga," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan mengenai laporan bulanan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan bagi November 2021 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.

IHPR pengeluaran tempatan yang mengukur inflasi dari perspektif pengeluar meningkat 12.6 peratus bulan lalu, terutama didorong oleh lonjakan kos bahan mentah.

Ini menandakan lapan bulan berturut-turut indeks berkenaan mencatatkan peningkatan dua angka pada tahun ini.

Mohd Uzir berkata, peningkatan dalam IHPR pengeluaran tempatan pada bulan dikaji disumbangkan oleh indeks perlombongan yang melonjak 71.2 peratus berbanding kejatuhan 45.8 peratus yang dicatatkan pada November 2020.

Katanya, peningkatan dalam harga minyak mentah (79.8 peratus) dan gas asli (38.2 peratus) menyumbang kepada kenaikan ini.

"Indeks pertanian, perhutanan & perikanan juga meningkat namun pada kadar yang perlahan iaitu 19.1 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan dalam indeks buah tandan segar kelapa sawit (25.2 peratus), ayam (18.1 peratus) dan telur ayam (8.3 peratus).

"Tambahan pula, indeks pembuatan meningkat 8.4 peratus pada November 2021 disumbangkan oleh indeks bagi subsektor pembuatan produk petroleum bertapis (26.2 peratus) dan pembuatan minyak & lemak daripada sayuran & haiwan (21.9 peratus).

"Indeks bekalan air meningkat secara marginal 0.2 peratus Bagaimanapun, indeks bekalan elektrik & gas menurun 0.3 peratus," katanya.

Melihat perbandingan di negara lain, IHPR di China dan Taiwan menunjukkan trend yang sama dengan Malaysia.

IHPR di China bagaimanapun berkurangan sedikit pada November, apabila mencatatkan kenaikan 12.9 peratus berbanding 13.5 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Manakala, IHPR di Taiwan meningkat 14.2 peratus pada November 2021 berbanding 15.1 peratus pada Oktober 2021.

Berita Harian X