Rabu, 29 Disember 2021 | 1:58pm
Bank Negara Malaysia (BNM) - Foto hiasan
Bank Negara Malaysia (BNM) - Foto hiasan

Pemohon berpengalaman dijangka dapat lesen bank digital

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menganugerahkan lesen bank digital kepada pemohon yang mempunyai kedudukan mantap dalam perkhidmatan e-kewangan.

Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata, kehadiran kukuh dalam perkhidmatan e-kewangan membolehkan pemohon yang layak memperkenalkan perkhidmatan perbankan digital lebih lancar dengan penggunaan yang dipercepatkan.

"Kemasukan peserta sedemikian boleh meningkatkan persaingan untuk deposit terhadap peserta konvensional," katanya.

Bulan lalu, Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata bank pusat itu sedang memproses permohonan lesen bank digital.

Beliau berkata, pemberian lesen bank digital akan diumumkan pada suku pertama tahun depan.

Pada Julai lalu, BNM mengumumkan sebanyak 29 permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital diterima di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, setelah tempoh permohonan selama enam bulan berakhir pada 30 Jun 2021.

Sebelum ini, bank pusat itu dilaporkan bercadang mengeluarkan sehingga lima lesen bank digital kepada pemohon yang layak bagi menubuhkan bank berkenaan untuk urusan perbankan konvensional atau secara Islam di negara ini.

Pelbagai pihak menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen bank digital, termasuk bank, konglomerat industri, firma teknologi, penyedia perkhidmatan e-dagang, syarikat Fintech, koperasi dan kerajaan negeri.

Antaranya termasuk konsortium yang dibentuk oleh anak syarikat Axiata Group Bhd, Boost Holdings Sdn Bhd dengan Kumpulan Perbankan RHB; Sunway Bhd dan AirAsia Group.

BNM berkata, pemohon yang berjaya dan memenuhi kesemua kriteria kehematan dijangka dapat menyumbang ke arah rangkuman kewangan yang lebih luas dengan menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan untuk mengurangkan jurang pasaran bagi golongan yang kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan yang tidak mendapat perkhidmatan kewangan.

Hal itu termasuk menggalakkan penggunaan penyelesaian kewangan yang sesuai dan pada kos yang berpatutan melalui penggunaan aplikasi teknologi yang inovatif.

Bank digital perlu mematuhi keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA), termasuk keperluan berkaitan yang terdiri daripada standard kehematan, pengendalian perniagaan dan perlindungan pengguna, dan juga pencegahan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Berita Harian X