Jumaat, 24 Disember 2021 | 1:57pm
Ekonomi Malaysia berkembang dengan pertumbuhan positif tiga peratus bagi sembilan bulan pertama tahun ini - Foto Bloomberg
Ekonomi Malaysia berkembang dengan pertumbuhan positif tiga peratus bagi sembilan bulan pertama tahun ini - Foto Bloomberg

Petunjuk utama ekonomi Malaysia menggalakkan

PUTRAJAYA: Beberapa petunjuk utama ekonomi terus menunjukkan arah aliran yang positif, sekali gus mendorong prospek ekonomi yang optimistik tahun hadapan, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik dalam masa terdekat berdasarkan trajektori pemulihan ekonomi global.

Beliau berkata, ia selari dengan prestasi tahunan Indeks Pelopor (IP) yang berkembang 0.3 peratus pada Oktober 2021, menunjukkan prospek yang lebih optimistik pada bulan-bulan akan datang sekiranya aktiviti ekonomi kembali normal secara beransur-ansur seiring dengan kelonggaran perjalanan rentas negeri.

Katanya, bagi sembilan bulan pertama tahun ini, ekonomi Malaysia berkembang dengan pertumbuhan positif tiga peratus berbanding penguncupan 6.4 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu.

"Justeru, tinjauan ekonomi yang optimistik dijangkakan pada 2022 dengan Asian Development Bank mengunjurkan ekonomi negara membangun Asia akan tumbuh sebanyak 5.4 peratus.

"Begitu juga, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang antara tiga peratus hingga empat peratus tahun ini dan 5.5 peratus hingga 6.5 peratus pada 2022," katanya.

Beliau berkata demikian dalam terbitan laporan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 12/2021, edisi terakhir bagi tahun 2021.

Mengulas lanjut mengenai senario ekonomi terkini berdasarkan petunjuk ekonomi semasa, Mohd Uzir berkata, dari sudut sektor luaran, jumlah dagangan Malaysia telah meningkat secara berterusan dengan peningkatan 26.5 peratus.

"Eksport meningkat 25.5 peratus kepada RM114.4 bilion sementara import mencatatkan pertumbuhan 27.9 peratus untuk merekodkan sejumlah RM88.2 bilion, sekali gus menghasilkan lebihan dagangan sebanyak 17.9 peratus.

"Berdasarkan prestasi perindustrian, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 5.5 peratus berbanding Oktober tahun lalu didorong oleh peningkatan 8.0 peratus dalam indeks Pembuatan dan 4.1 peratus dalam indeks Elektrik.

"Ia selari dengan prestasi yang lebih baik ditunjukkan oleh indeks pembuatan, jualan pembuatan Malaysia berkembang 15.3 peratus pada Oktober 2021, terutama didorong oleh produk petroleum, kimia, getah & plastik," katanya.

Sementara itu, jualan perdagangan borong & runcit bagi bulan Oktober 2021 meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun, kenaikan pertama direkodkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKPP) pada Jun 2021.

Menurut DOSM, prestasi itu disokong oleh subsektor perdagangan borong yang terus mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 4.4 peratus atau bersamaan dengan RM2.4 bilion pada Oktober 2021 untuk merekodkan RM55.8 bilion.

"Tambahan pula, perdagangan runcit meningkat 5.1 peratus manakala kenderaan bermotor melonjak kepada 10.2 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan negatif dua angka sejak PKPP," katanya.

Mengulas berhubung pasaran buruh pada Oktober 2021, Mohd Uzir berkata, situasi tenaga buruh kekal stabil seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan bilangan penduduk bekerja pada bulan dikaji, manakala kadar pengangguran jatuh ke paras terendah sejak April 2020.

"Bilangan tenaga buruh meningkat 1.9 peratus atau 304.3 ribu orang untuk merekodkan 16.26 juta orang, seterusnya mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi pada 68.5 peratus, meningkat 0.3 mata peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.

"Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan keupayaan sesebuah ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga, meningkat 0.5 mata peratus kepada 65.8 peratus pada Oktober 2021.

"Sementara itu, kadar pengangguran susut 0.4 mata peratus untuk merekodkan 4.3 peratus," katanya

Dari sudut Indeks Harga Pengguna (IHP), beliau berkata, pada Oktober 2021, IHP meningkat 2.9 peratus kepada 123.7 berbanding 120.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

"Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan pula tumbuh dalam peratusan dua angka untuk bulan ketujuh berturut-turut kepada 13.2 peratus. Peningkatan ini disumbangkan terutama oleh indeks perlombongan," katanya.

Berita Harian X