Selasa, 21 Disember 2021 | 5:34pm
Gambar fail. - NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM
Gambar fail. - NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM

Banjir: Sejumlah 18,000 PKS dianggarkan terjejas - SAMENTA

KUALA LUMPUR: Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menganggarkan antara 12,000 hingga 18,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas akibat banjir.

Pengerusinya, Datuk William Ng, berkata sehubungan itu pihaknya memohon supaya lebih banyak pertolongan diberikan kepada PKS yang terjejas akibat banjir buruk di Lembah Klang.

Katanya, ramai ahli mereka telah melaporkan berdepan kerosakan teruk pada kenderaan, jentera dan stok, dengan kerugian mencecah jutaan ringgit.

"Anggaran awal kami ialah antara 12,000 hingga 18,000 PKS terjejas akibat banjir.

"Kami bersyukur kerana kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) telah menawarkan pinjaman sehingga RM500,000 dengan faedah rendah kepada PKS yang terjejas.

"Namun demikian, kami meminta pihak kerajaan untuk mengambil langkah seterusnya dengan mengumumkan moratorium bebas faedah selama tiga bulan untuk pembayaran balik pinjaman dari PKS yang terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.

William berkata, pihaknya juga menggesa kerajaan dan polis supaya memastikan kejadian pecah kedai dan gudang yang dilaporkan tidak berulang.

Katanya, pihaknya juga merayu kepada syarikat-syarikat insurans untuk memproses sebarang tuntutan dengan secepat mungkin.

"Bencana ini telah berlaku pada masa yang sukar untuk perniagaan, apabila PKS baru bangkit semula selepas sekatan-sekatan sebelum ini.

"Pasukan Petugas SAMENTA untuk Banjir Lembah Klang telah diaktifkan, dan kami sedang menghantar bekalan kepada isi rumah yang terjejas.

"Pemilik PKS yang mengalami kerosakan digalakkan membuat laporan polis dan menghantar salinan kepada kami di central@samenta.org.my supaya kami boleh membantu menyelaras bantuan daripada pelbagai agensi," katanya.

Berita Harian X