Isnin, 20 Disember 2021 | 5:40pm
Mohd Mustafa Abdul Aziz.
Mohd Mustafa Abdul Aziz.

MATRADE sedia bantu syarikat pertengahan, PKS terjejas banjir

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersedia menghulurkan bantuan kepada syarikat peringkat pertengahan (MTC) termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata buat masa ini, agensi itu masih belum menerima maklumat mengenai syarikat yang terjejas.

"Kerajaan masih menilai keseriusan keadaan. Nasib baik, hujan berhenti pada Sabtu lalu, atau keadaan mungkin bertambah buruk.

"MATRADE akan membantu syarikat-syarikat yang terjejas akibat banjir. Sila hubungi kami supaya tindakan yang perlu boleh diambil," katanya kepada pemberita selepas Sidang Kemuncak CEO Syarikat Peringkat Pertengahan 2021, bertemakan Merangka Hala Tuju untuk Pertumbuhan Eksport hari ini.

Beliau ketika diminta mengulas mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkata MATRADE akan bekerjasama dengan persatuan perdagangan bagi mengenal pasti syarikat yang mampu menembusi pasaran global.

"RCEP akan memberikan akses pasaran dan pasaran yang lebih luas untuk kami menjangkau lebih ramai pelanggan serta industri agar berkembang tetapi kami perlu mencari orang yang tepat (PKS dan MTC) untuk bersaing," katanya.

Pembabitan Malaysia dalam RCEP bersifat jangka masa panjang, oleh itu, MATRADE akan mengambil usaha terperinci dalam mencari syarikat yang mempunyai keupayaan untuk meningkatkan diri dan bersaing dengan pesaing di pasaran yang lebih besar.

MATRADE telah mendorong 275 MTCdari Gelombang 1 hingga Gelombang 7 sejak penubuhannya pada 2014 untuk menjadi juara global.

Syarikat-syarikat merangkumi sektor seperti elektrik dan elektronik, alat ganti dan komponen automotif, plastik, francais, minyak dan gas, makanan diproses, komunikasi dan teknologi maklumat (ICT).

"Pendapatan eksport MTC telah mencecah RM15.4 bilion pada 2020, menokok hampir 4 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), MATRADE telah menetapkan sasaran untuk merekodkan peningkatan kumulatif eksport sebanyak RM5 bilion lagi.

"Ia mungkin dilihat terlalu bercita-cita tinggi tetapi ia boleh dicapai jika kita terus berganding bahu dan menyokong antara satu sama lain," tambah Mohd Mustafa.

- BERNAMA

Berita Harian X