Isnin, 20 Disember 2021 | 3:10pm
Gambar fail. - Bloomberg
Gambar fail. - Bloomberg

Banjir: RHB Bank tawar kemudahan bayar balik pinjaman

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group (RHB) menyediakan bantuan kewangan kepada pelanggan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat banjir, baru-baru ini.

RHB dalam satu kenyataan, di bawah Program Bantuan Banjir, pelanggan individu yang layak boleh memohon penangguhan bayaran ansuran sehingga enam bulan bagi gadai janji, pinjaman/pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (AS), pinjaman/pembiayaan peribadi dan sewa beli.

"Selain itu, bank juga menawarkan pengecualian caj pembayaran lewat dan faedah ke atas kad kredit yang terjejas sehingga jumlah RM500 dan pengecualian yuran penggantian kad untuk ATM, kad debit dan kad kredit," katanya.

Bagi PKS, RHB berkata, pelanggan boleh memohon moratorium ke atas kemudahan pembiayaan sedia ada ke atas prinsipal dan/atau faedah/keuntungan.

"Di samping itu, RHB juga akan menyediakan dana pembiayaan bantuan banjir untuk PKS, termasuk moratorium ansuran untuk pelanggan PKS baharu dan sedia ada, dengan kemudahan pembiayaan sehingga RM300,000 bagi tempoh tiga tahun pada kadar menarik," katanya.

Menurut kenyataan itu, selain Program Bantuan Banjir untuk pelanggan individu dan PKS, RHB Insurance juga menyediakan perkhidmatan tuntutan di bawah Pasukan Tindak Balas Bencana Alamnya yang membolehkan tuntutan kecil yang lebih cepat ke atas insurans motor dan kebakaran sehingga RM10,000 bagi kerosakan akibat bencana alam.

"Kesejahteraan pelanggan tetap menjadi keutamaan kami terutamanya pada masa yang sukar ini.

"Saya memohon pelanggan yang terjejas akibat banjir untuk menghubungi kami bagi membolehkan kami memberikan bantuan bantuan yang sesuai," kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli.

Untuk maklumat lanjut tentang Program Bantuan Banjir, pelanggan boleh merujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) yang terdapat di www.rhbgroup.com.

Berita Harian X